
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan amalan lantikan Naib Canselor oleh menteri dan tidak memberi autonomi kepada warga universiti sendiri untuk mengundi Naib Canselor mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata memandangkan kerajaan tiada cadangan memansuhkan AUKU 1971 (Pindaan 2019), maka amalan sedia ada akan diteruskan.
Mohamed Khaled berkata demikian semasa menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Muhammad Islahuddin melahirkan keyakinan bahawa pindaan terhadap AUKU akan memperkasa kesatuan mahasiswa, memberi lebih autonomi dalam kegiatan berpersatuan dan melancarkan urus tadbir universiti.
Beliau juga meminta penjelasan sama ada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan di kampus universiti.
Katanya, langkah itu akan menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan amalan politik matang selaras dengan usaha reformasi pendidikan

Menjawab soalan tambahan itu, Mohamed Khaled berkata, KPT telah melakukan pelbagai pindaan AUKU yang melibatkan soal kegiatan pelajar, kepada soal tadbir urus universiti dan sebagainya.
Katanya, KPT memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai sebarang parti politik, sama ada di dalam atau di luar kampus.
“Ini termasuklah pelajar itu untuk menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.
“Jadi semua perkara itu memang telah pun dilonggarkan dan kemungkinan, termasuk perkara yang dicadangkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2023











