Federalisme fiskal semakin tempang

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

Kita sedia maklum, bahawa negara baru sahaja menginjak daripada satu situasi pandemik dan pascapandemik yang menekan dalam dua hingga tiga tahun ke belakang.

- Advertisement -

Kerajaan yang diterajui oleh Yang Berhormat Pagoh dan Yang Berhormat Bera telah melaksanakan pelbagai dasar survival rakyat dan negara serta memasukkan Pakej Rangsangan Ekonomi menghadapi situasi yang genting ketika itu. Memasuki era endemik, pelbagai strategi, pelan pemulihan ekonomi diatur bagi memastikan negara dapat keluar daripada himpitan sektor kesihatan, ekonomi dan sosial yang dahsyat.

Alhamdulillah, berkat ketekunan serta keprihatinan yang tinggi oleh kepimpinan kerajaan ketika itu, pertumbuhan ekonomi negara bukan sahaja memulih bahkan akhirnya kembali melonjak kepada paras terbaik sejak lebih dua dekad yang lalu iaitu 8.7 peratus sebagaimana yang diumumkan kerajaan awal Februari yang lalu. Alhamdulillah, inilah yang dinyatakan Allah, [Membaca sepotong ayat al-Quran] di dalam Surah al-Insyirah, ayat yang keenam, “Berserta kesulitan itu ada kemudahan.”

Pertumbuhan KDNK bukan sahaja menunjukkan satu lantunan yang membanggakan berbanding 3.1 peratus pada tahun 2021. Bahkan juga mencatatkan prestasi terbaik jika dibandingkan dengan beberapa negara ASEAN yang lain seperti Singapura, 3.8 peratus, Indonesia 5.8 peratus serta Filipina 7.6 peratus. Strategi memperkukuhkan permintaan domestik serta pasaran buruh menjadi antara tonggak utama dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Kalau kita perhatikan perincian Kumpulan Wang Covid-19, sebahagian besar dioptimumkan bagi memenuhi pakej bantuan tunai dan subsidi upah. Malangnya, ada sesetengah pihak sekadar menangguk di air keruh, mereka hadir dengan pelbagai formula lampu Aladdin yang kononnya boleh menyelesaikan masalah rakyat dengan sekelip mata, tetapi kesemua itu tidak ada asasnya.

Hari ini kelompok yang sama bukan sahaja mempamerkan kenyataan sebenar di sebalik pelbagai formula yang diketengahkan, bahkan mereka juga mengambil kesempatan untuk melakukan tuduhan rambang terhadap segala strategi dan pelan pemulihan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelumnya. Sebagai contoh, mereka menuduh Yang Berhormat Pagoh mengambil duit rakyat dengan nilaian ratusan bilion, sedangkan dalam masa yang sama, keseluruhan nilai manfaat termasuk suntikan fiskal di bawah Kumpulan Wang Covid-19 dilaporkan secara jelas dalam dokumen Tinjauan Ekonomi dan Fiskal tahun 2023.

Yang Berhormat Tambun juga membentangkan mengenai hutang persekutuan akan menjangkau RM1.2 trilion serta termasuk liabiliti boleh mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus KDNK. Saya tidak menolak data ini. Cuma, kita juga perlu jujur dalam membentangkan data. Sewajarnya hutang persekutuan yang tinggi ini dibaca bersandarkan kepada KDNK.

Walaupun demikian, kita tidaklah harus berpuas hati dengan kedudukan hutang yang tinggi disebabkan keperluan mendesak kerajaan memikirkan survival rakyat dalam situasi yang turut mendesak. Kerajaan seharusnya menyediakan satu pelan strategik pengukuhan ekonomi yang jelas. Ironinya, saya tidak melihat pembentangan belanjawan kali ini menyatakan perancangan pelan strategik bagi memperhalus fasa pengukuhan ekonomi. Ada disebutkan tentang sasaran pencapaian defisit fiskal 3.2 peratus menjelang tahun 2025 berbanding 5.0 peratus bagi unjuran tahun 2023. Namun persoalan, apa strateginya?

Begitu juga usaha menyegerakan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi memastikan pengurusan   fiskal   yang lebih transparent, mampan serta berakauntabiliti.Namun persoalannya, pertama, apakah kerajaan akan mengekalkan Jawatankuasa Pemantauan Bajet sebagaimana yang diperkenalkan oleh Yang Berhormat Bera dalam Belanjawan 2022? Yang kedua, apa langkah kerajaan bagi mengatasi pengurangan hasil berkaitan petroleum yang mengunjurkan pengurangan hasil 20.9 peratus atau RM65.2 bilion pada tahun 2023 berikutan harga minyak mentah dunia yang berkurangan serta dividen PETRONAS yang rendah?

Yang ketiga, apakah kerajaan akan mengekalkan cukai makmur yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2022 bagi kumpulan syarikat berpendapatan bercukai lebih RM100 juta? Kutipan cukai makmur ini berjaya menyumbang sehingga RM7 bilion pada tahun lalu sekali gus membantu meningkatkan hasil kutipan cukai di bawah cukai pendapatan syarikat.

Oleh sebab itu, saya melihat tiada strategi fiskal yang jelas dalam fasa pengukuhan ekonomi. Maka saya mengharapkan ada maklum balas daripada pihak kementerian.

Saya ingin beralih kepada tajuk federalisme fiskal. Satu perkara yang menggusarkan saya adalah soal federalisme fiskal yang semakin tempang disebabkan perbezaan parti politik pemerintah di antara Persekutuan dan negeri. Saya telah membangkitkan dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong sebelum daripada ini bahawa sepatutnya hubungan federalisme ditangani secara kerajaan kepada kerajaan, bukan parti kepada parti.

Isunya, mengapa kita harus mengundurkan negara ke belakang dengan amalan berpolitik yang sempit? Di mana agenda reformasi institusi yang dicanangkan ke seluruh negara, contohnya dalam soal pembinaan Kedah Aerotropolis yang sebahagian komponennya yang akan menjadi tonggak kepada ekonomi utama Kedah ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)? Ia perlu dinilai secara objektif.

Saya ingin menegaskan bahawa Kedah tidak berhasrat untuk menyaingi keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan beberapa asas penting. Pertama, fungsi Kedah Aerotropolis adalah dual hub perkhidmatan kargo dan penumpang. Perkara ini turut merangkumi perkhidmatan logistik aeroangkasa dan hab perbuatan Sidam, pusat maintenance, penyelenggaraan, repair dan overhaul, perbaikan pesawat dan menjadi antara penyedia perkhidmatan berkenaan di rantau Asia. Oleh itu, Kedah Aerotropolis melengkapi peranan lapangan terbang sedia ada dalam negara bukan untuk menyaingi, tetapi untuk melengkapkan.

Yang kedua, Kedah Aerotropolis akan menjadi game changer kepada pembangunan di wilayah koridor utara serta memastikan pengurangan kesenjangan pembangunan antara wilayah yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dapat direalisasikan. KDNK negeri diunjurkan meningkat kepada 7.5 peratus berbanding sekitar 3.4 peratus dalam keadaan semasa.

Yang ketiga, Kedah Aerotropolis termasuk KXP sendiri mengguna pakai model perniagaan berasaskan PFI berjumlah sekitar RM7 bilion hingga RM8 bilion. Ia tidak melibatkan keseluruhan peruntukan kewangan dan bajet daripada Kerajaan Persekutuan.

Cuma memerlukan kelulusan dan keteraturan prosedur permohonan. Oleh itu, tidak ada sebab mengapa faktor kos menjadi kebimbangan Kerajaan Persekutuan.

Yang keempat, Projek KXP Kedah Aerotropolis telah diberikan nafas oleh Kerajaan Negeri Kedah sehingga mendapat kelulusan secara prinsip di peringkat Majlis Perancang Fizikal Negara pada tahun 2020 selain memenuhi syarat yang dikemukakan oleh Kementerian Pengangkutan serta Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara. Justeru, mengapa cadangan membesarkan Penang International Airport tidak pernah berbangkit sebelum daripada projek KXP mula diperkenalkan sejak tahun 2014 yang lalu?

Oleh sebab itu, saya berpandangan konsep federalisme fiskal begini wajar diwacanakan semula. Saya tidak bercakap soal KXP semata-mata, bahkan juga isu yang berkait dengan royalti di negeri Kelantan dan Terengganu, isu pelantikan JPP dan sebagainya yang masih menjadi pertikaian berbangkit sejak lama.

Semalam Yang Berhormat Bagan membangkitkan tentang kedaulatan Pulau Pinang yang kononnya telah dicerobohi oleh Kedah. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah diserang habis-habisan. MB Kedah tidak ada di sini, jadi bolehlah. Kalau dia ada, sudah tentu suasananya berbeza. Yang Berhormat Sik dan Yang Berhormat Kubang Pasu cuba minta laluan, tetapi tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan.

Saya tidak pasti adakah Yang Berhormat Bagan pernah membaca pelbagai penulisan daripada perspektif sejarah mahupun undang-undang mengenai kedudukan Pulau Pinang dengan Kedah, sama ada perjanjian pada tahun 1791 mahupun tahun 1899. Soal kedaulatan Pulau Pinang yang sebenarnya adalah di bawah Kedah. Kalau Yang Berhormat Bagan mahu memperjuangkan kedaulatan Pulau Pinang, maka Kedahlah sebenarnya kedaulatan bagi Pulau Pinang.

Walaupun demikian, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara ini kerana ini tuntutan Kedah adalah jelas memberikan hak Kedah dan hak rakyatnya iaitu nilai pajakan yang setimpal dengan Kedah. Ini menjadi tanggungjawab Persekutuan, bukannya Pulau Pinang. Perkara 167 subseksyen 7 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana yang kena buat sebelum Hari Merdeka di bawah Perkara II, Triti yang dibuat pada 6 Mei 1869 antara Baginda Ratu pada satu pihak dengan Raja Siam pada pihak yang satu lagi berkenaan dengan negeri Kedah.

Ketika ini Kerajaan Kedah menerima RM10,000 pajakan setahun. Sebelum ini, Kerajaan Kedah menerima RM10,000 pajakan setahun.

Almarhum Tan Sri Azizan bin Abdul Razak ketika menjadi Yang Berhormat Menteri Besar telah memperjuangkan nilai pajakan yang lebih setimpal. Akhirnya ditingkatkan kepada RM10 juta dan dibayar ketika itu, ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri. Persoalannya ialah, adakah menjadi satu kesalahan jika ada pihak yang mahu melakukan penilaian semula terhadap nilai pajakan itu? Adakah nilai pajakan yang diterima itu setara? Rakyat kedah juga mahu jawapannya. Oleh itu, Kedah memohon dua perkara daripada Persekutuan.

Pertama, menuntut nilai pajakan yang setimpal serta kos penjagaan sumber air mentah Sungai Ulu Muda dan kos melepas yang diambil dan diguna pakai oleh Pulau Pinang. Kedua, menetapkan suatu bentuk hitam putih terhadap pembayaran tersebut dan tidak dilakukan atas pentadbiran semata-mata.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah tidak mempertikai kedaulatan sesiapa. Jauh sekali menghina dan merendahkan Tuan Yang Terutama Pulau Pinang. MB Kedah hanya menuntut hak Kedah dan rakyatnya. Inilah juga yang kami sokong dan kami dukung. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 28 Februari 2023.

- Advertisement -