
KUALA LUMPUR: Menyedari dunia kini sangat memerlukan barisan ulama berjiwa negarawan untuk menyelesaikan masalah umat, maka Yayasan Permata Ummah (YPU) berhasrat untuk memelihara legasi ilmu para ulama dan tokoh Islam sepanjang zaman.
Pengerusinya, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata hasrat itu diusahakan melalui pengumpulan bahan arkib, kajian, dan penerbitan dan sebagainya.
Katanya, ia juga merupakan antara inisiatif untuk mengekalkan khazanah keilmuan agar dapat disebarkan kepada generasi yang akan datang.
“YPU juga turut menjalankan usaha kebajikan dan pendidikan untuk memenuhi keperluan umum masyarakat dengan menjadikan budaya ilmu sebagai teras utama bagi memastikan kesan dan manfaat yang berpanjangan.
“Seterusnya, YPU bercita-cita besar mengorak langkah sejajar dengan wawasan dan misi penubuhannya iaitu membentuk sebuah pusat penyelidikan dan rujukan yang mengumpulkan segala khazanah ilmu yang berharga,” katanya.
Beliau berkara demikian semasa berucap pada Program Dialog Ulama Negarawan (DUN), Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini, di sebuah hotel, di sini semalam.
Dalam majlis sama, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut merasmikan pelancaran buku berjudul ‘Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang Dalam Sosiopolitik Malaysia dan Antarabangsa’.
Buku tersebut merupakan hasil kajian ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Terengganu Strategic & Integrity Institute.
Sementara itu, penganjuran DUN kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu adalah merupakan atur cara bersiri kelolaan YPU sebagai langkah memperkasakan agenda dakwah bersasar demi memastikan sentuhan dakwah yang lebih berkesan dan bersifat jangka masa panjang.
Katanya, DUN juga disusun untuk mengangkat kewibawaan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai bukan sekadar seorang ulama, malah juga sebagai seorang negarawan dan murabbi ummah.
“Demikian juga, pelaksanaan DUN ini diharapkan mampu menjadi wahana bagi mendapatkan keyakinan awam, khususnya kalangan pimpinan dan tokoh masyarakat (al-mala’) terhadap penyelesaian Islam, di samping memperoleh penjelasan dan perspektif ulama terhadap isu semasa yang diketengahkan,” katanya.
Beliau secara peribadi berpandangan sudah masanya untuk dunia Islam mengorak langkah lebih jauh untuk mencorakkan masa depan dunia antarabangsa.
Katanya, dengan segala kelebihan yang dikurniakan Allah SWT, sepatutnya dunia Islam mampu bersinar kembali dan menjadi peneraju dunia.
“Saat ini ialah masanya untuk umat dan Dunia Islam memperbetul keadaan serta menguatkan lagi perpaduan demi kelangsungan Islam. Sampai bilakah kita mahu diperdaya dan dimainkan?
“Sebelum terlambat, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar kerana hanya Islam mampu menyatukan umat dan dunia Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2023











