
KUALA LUMPUR: Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, bagi maksud tersebut, lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Negeri Sarawak akan berakhir pada 2023, Negeri Sabah (2025) manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu (2026).
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [PN-Marang] di Dewan Rakyat, hari ini.
Tuan Guru Abdul Hadi dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah Kerajaan untuk memastikan persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dilakukan secara adil mengikut jumlah pengundi dalam Parlimen khususnya di kawasan dalam negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menurut Azalina lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan kepada prinsip-prinsip dan tatacara persempadanan yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan serta menurut bidang kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan peruntukan yang ditetapkan oleh Perlembagaan, prinsip-prinsip persempadanan yang dipegang oleh SPR,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/3/2023











