Wilson Ugak janji tolong Afnan Hamimi

Afnan Hamimi Taib Azamuddeni
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berjanji akan membawa isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Alor Setar berhubung larangan pegawai agensi Persekutuan menghadiri mesyuarat kerajaan negeri.

- Advertisement -

Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata demikian, selepas mendengar soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden sesi soalan lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Afnan Hamimi berkata, Pejabat Persekutuan di negeri diwujudkan untuk memudahkan dan menyelaraskan urusan Persekutuan dengan negeri dan rakyat.

“Soalan saya ialah baru-baru ini di Kedah, misalnya ada (pegawai) agensi Persekutuan yang dijemput hadir ke mesyuarat peringkat negeri, tetapi dimaklumkan, dia tidak dibenarkan hadir ke mesyuarat kerajaan negeri itu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya: “Apakah sebenarnya pendirian kerajaan Persekutuan terhadap agensi kerajaan Persekutuan di negeri-negeri yang berlainan ideologi politik, adakah sama atau ada arahan terbaharu.”

Wilson Ugak memberitahu Dewan Rakyat bahawa sepatutnya soalan yang ditanya khusus untuk Sarawak, tetapi mengambil kira Ahli Parlimen Alor Setar sebagai sahabatnya berkata: “kita sebagai kerajaan perpaduan tidak memilih bulu, bangsa dan agama.

“Saya akan membawa perkara ini ke atasan dan supaya masalah ini tidak akan timbul lagi untuk rakyat keseluruhan.” – HARAKAHDAILY 23/2/23

- Advertisement -