
KUALA LUMPUR: Dato’ Indera Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) menyuarakan kebimbangan terhadap masalah bekalan air yang sudah mencapai tahap kritikal yang terpaksa dihadapi penduduk di kawasannya.
Menurutnya, rakyat di Labuan berdepan masalah kekurangan air untuk keperluan harian seperti mandi, manakala keperluan untuk minuman masih boleh diakses dengan membeli air mineral di kedai.
“Jika berlaku sebarang masalah di Loji Rawatan Air Kampung Lawa Gadong, orang Labuan tidak mandi empat hingga lima hari,” katanya kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Azmi Nik Ahmad yang membuat penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Suhaili berkata, Labuan telah menjadi Wilayah Persekutuan selama 39 tahun, tetapi tiada sebarang penambahbaikan oleh kerajaan untuk menyediakan loji rawatan yang dicadangkan kerajaan seperti di Langkawi.
Katanya, kerajaan seolah-olah mengambil sikap sambil lewa terhadap isu penambahbaikan atau menaik taraf loji rawatan air di Labuan.
“Saya difahamkan oleh bahagian bekalan air bahawa proses menaik taraf loji rawatan Jalan Kolam sedang dibuat tetapi bila mendengar taklimat beliau, ia dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga.
“Boleh tak menteri maklumkan kepada saya, berapa lama lagi orang Labuan boleh mendapat air dengan sempurna,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/23











