
KUALA LUMPUR: Projek di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang masih tidak beroperasi sehingga kini ibarat `gajah putih’.
Bagaimanapun, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) tetap berterima kasih kepada kerajaan di atas usaha dan perhatian terhadap pembangunan ekonomi di Pantai Timur, terutama Kelantan.
“Projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) adalah projek pembinaan tapak halal hab untuk projek halal. Tetapi sehingga sekarang, tidak dapat beroperasi ibarat projek itu gajah putih.
“Jadi sejauh mana usaha pihak kerajaan untuk memastikan pelaburan yang dibuat dapat dimanfaatkan dan dapat menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib, berkata beliau akan memberi jawapan secara bertulis perkara yang dibangkitkan oleh Siti Zailah.
“Saya mohon maaf, saya tidak mempunyai maklumat di depan saya tentang hab, tapi dari segi pekerjaan memang ada mempunyai pertambahan,” kata Hanifah. – HARAKAHDAILY 23/2/23











