
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong, menerima pandangan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) supaya kerajaan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam misi menyelamat ketika bencana.
Rushdan mencadangkan kerajaan menerima dengan tangan terbuka NGO yang telah dilatih bersama dalam misi-misi menyelamat bersama agensi penyelamat sedia ada seperti Khidmat Malaysia, Mercy Malaysia, Jabatan Amal Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia.
“Sejauh manakah program di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya dan mampu membantu kerajaan?
“Adakah kerajaan bersedia dengan tangan terbuka bagi NGO yang telah dilatih bersama dalam misi menyelamat bersama dengan agensi penyelamat sedia ada?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan soalan asalnya, Rushdan meminta kerajaan menyatakan tahap kesediaan agensi pengurusan bencana dalam mendepani bencana alam seperti kes tanah runtuh Batang Kali.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah mengarahkan agensi di setiap peringkat, sama ada pusat, negeri dan daerah menjalankan tindakan-tindakan sewajarnya.
“Ini termasuk usaha mitigasi, pembangunan sistem amaran awal di kawasan berisiko bencana, meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti dan kecekapan agensi,” kata Wilson. – HARAKAHDAILY 23/2/23











