95.98 peratus capaian internet 4G suku ketiga 2022

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah dan sedang mempertingkatkan capaian internet di seluruh negara termasuklah di Parlimen Tasek Gelugor, melalui pelaksanaan inisiatif Jendela Fasa 1 (2020-2022) dan Fasa 2 (2023-2025).

- Advertisement -

Menurut Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), setakat suku ketiga tahun 2022, peratusan capaian internet 4G di kawasan berpenduduk di seluruh negara adalah 95.98 peratus.

Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan [PN-Tasek Gelugor] di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Saifulruddin meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apa perancangan Kerajaan untuk memperbaiki capaian 4G di seluruh negara, khususnya di Parlimen Tasek Gelugor dan apakah jaminan bahawa pembinaan infrastruktur 5G tidak akan mengenepikan 4G dan 3G yang masih digunakan oleh majoriti rakyat.

Menurut KKD lagi, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Pulau Pinang telah meningkat kepada 99.82 peratus berbanding 99.58 peratus sebelum pelaksanaan Jendela pada suku kedua 2020.

Katanya, bagi Parlimen Tasek Gelugor pula, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk telah meningkat kepada 100 peratus berbanding 97.85 peratus sebelum pelaksanaan Jendela pada suku kedua 2020.

Ujarnya, di Parlimen Tasek Gelugor, setakat suku keempat 2022, sebanyak 9,415 premis telah siap disediakan dengan sambungan gentian optik bagi jalur lebar talian tetap, daripada 11,211 premis yang dirancang.

Manakala baki sebanyak 1,796 premis lagi dijangka akan siap sepenuhnya pada suku keempat 2023.

KKD juga telah menyiapkan secara sepenuhnya lima menara baharu dan 125 alat pemancar komunikasi di Parlimen Tasek Gelugor. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -