Buli secara maya melampau tidak mampu jawab hujah

- Advertisement -

BELIA harapan bangsa dan negara. Saya bercakap tentang belia walaupun saya telah pun mencecah umur 60 tahun. Ini kerana pada saya, belia ini masa depan untuk membentuk negara kita yang tercinta ini. Sebagaimana orang yang pernah menjadi muda sudah tentu ada pengalaman yang tersendiri.

- Advertisement -

Isu yang paling hangat dibicarakan dalam kalangan belia ini ialah berkenaan dengan pekerjaan dan pengangguran terutama waktu pasca pandemik. Pelbagai usaha yang telah dirancang, dilaksanakan oleh kerajaan yang dahulu antaranya seperti Program Subsidi Upah 1.0 (PSU 1.0) sehingga PSU 5.0, PENJANA dan MySTEP. Alhamdulillah hasilnya walaupun bilangan siswazah meningkat sebanyak 4.7 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan 2020 kadar pengangguran bagi siswazah menurun sebanyak 2.5 peratus pada tempoh yang sama. Justeru itu, persoalan saya di sini ialah sejauh manakah perancangan bagi pihak Kementerian Sumber Manusia untuk meneruskan inisiatif yang seumpama ini bagi mengurangkan kadar pengangguran di negara kita?

Jika dilihat kepada statistik siswazah terkini lebih 75 peratus orang siswazah yang berada dalam sektor perkhidmatan diikuti sektor pembuatan 13.7 peratus, sektor pembinaan 6 peratus, sektor pertanian 2.1 peratus dan sektor perlombongan 0.8 peratus. Ketidakseimbangan ini memerlukan perhatian daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan para siswazah diberikan persiapan yang secukupnya dan sesuai dengan keperluan serta permintaan industri.

Tuan Yang di-Pertua, sebagai contohnya kita dikejutkan dengan isu 20,732 orang calon yang layak dan melepasi syarat am gagal mendapat tawaran ke universiti disebabkan tempat yang terhad dan persaingan yang sengit untuk memasuki universiti awam. Justeru langkah jangka masa pendek dan sederhana perlu dilaksanakan dengan kadar segera selain turut merangka solusi jangka panjang. Antara yang pernah dicadangkan oleh pakar-pakar dalam negara ini perwujudan sistem data raya dan aplikasi yang mengandungi maklumat berkenaan program yang sesuai dan universiti yang menawarkannya.

Di peringkat awal ia mungkin hanya melibatkan universiti awam namun seiring dengan perkembangan semasa pelbagai institusi turut boleh dimasukkan sebagai panduan kepada lepasan SPM untuk memilih bidang dan kursus yang sesuai dan minat kelebihan mereka.

Tuan Yang di-Pertua, lain pula cerita dengan calon yang tidak memperolehi sijil SPM pada tahun lepas. Oleh sebab pandemik dan pertukaran sistem bagi pelajar SPM ini, statistik yang terkini menimbulkan kegusaran kita semua.

Seramai 24,941 orang pelajar yang berdaftar tidak menduduki SPM, manakala daripada jumlah yang mengambil peperiksaan, seramai 1,665 orang pelajar gagal dan 45,514 pelajar pula tidak layak mendapat sijil SPM. Secara keseluruhannya, sejumlah 72,120 orang pelajar ini tidak akan dapat menyambung pelajaran mereka kerana umum mengetahui bahawa sijil SPM sangat penting bagi anak-anak kita untuk meneruskan dan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Saya mengharapkan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, dapat menyediakan beberapa option dan plan dengan izin, kepada mereka agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Tuan Yang di-Pertua, suka juga saya membangkitkan isu terkini berkaitan dengan anak muda. Pertamanya ialah berkenaan dengan kebebasan bersuara bagi anak muda belia untuk menyatakan pandangan mereka. Tular baru-baru ini berlakunya suatu yang kita namakan seperti cyberbullying dengan izin, terhadap sekumpulan anak muda yang menyatakan pandangan mereka melalui aplikasi TikTok dan Facebook. Pembulian secara maya ini boleh saya kategorikan berlaku secara melampau apabila ia melibatkan penghinaan, ejekan tubuh dan gangguan seksual. Hal ini berlaku kerana hujah tidak mampu dijawab dengan hujah kecuali dengan serangan dan kekasaran.

Tuan Yang di-Pertua, pembangkang yang seimbang. Kami ingin menjadi semak imbang dalam Parlimen dan luar Parlimen. Sebagaimana yang kita ketahui sepatutnya Yang Berhormat ini, kita sebagai pembuat dasar dan sebagai anggota legislatif. Akan tetapi realiti yang berlaku, kita semua multipurpose, wakil rakyat serba guna. Kitalah pegawai kebajikan, kitalah pegawai bomba, kitalah pegawai JKR, kitalah pegawai JPS, kadang-kadang kita juga tok bidan. Perlu hormat keputusan rakyat yang memilih kami sebagai wakil rakyat. Sebelum menang, okeylah, apabila sudah menang semuanya mereka di bawah jagaan kami yang kami kena bantu.

Justeru itu, biarlah peruntukan yang dapat ke MP kerajaan diberi sama kepada MP pembangkang. Tidak perlulah divide and rule dalam kawasan Parlimen yang diwakili oleh pembangkang dengan melantik penyelaras Parlimen dan peruntukan yang diberikan kepada penyelaras. Rakyat tidak kenal pun penyelaras. Rakyat akan jumpa juga dengan kami.

Tuan Yang di-Pertua, satu lagi yang saya hendak bangkitkan berkenaan dengan masalah petani. Saya mendapat satu nota Excel— bukan ditulis dengan tulisan sahaja. Menggambarkan tentang keperitan yang dialami oleh pesawah pada hari ini. Nota Excel ini ditulis oleh saudara Jamaluddin Chik yang bendangnya musim kedua tahun 2022 iaitu di kawasan saya di Bagan Serai. Luas bendang 1.9 ekar. Belanja yang dibelanjakan untuk membuat bendang ini RM5,366.70 termasuklah untuk upah dron, racun siput, racun rumput, sewa pam, upah menanam dan sebagainya.

Pendapatan hanyalah RM3,503.19 dan masuk subsidi pula dapat RM1,008.81. Jadi masih lagi kurang, rugi, buat bendang rugi sebanyak RM854.70 masih kurang. Saya sendiri turun untuk melihat keadaan suasana sebelum daripada Parlimen bersidang, untuk melihat sendiri apa yang berlaku di sana. Saya bimbang ialah takut petani-petani ini give up. Mereka meninggalkan untuk membuat atau pun bersawah. Berbahaya dari segi sudut soal kita bincang berkenaan dengan keselamatan makanan.

Sudah adapun ramai di kalangan mereka yang tidak lagi mahu buat bendang sebaliknya mereka tanam kelapa sawit. Bagi jangka panjang amat merugikan. Jadi saya juga melihat sini, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian perlu berkolaborasi. Kadang-kadang apabila jumpa dengan JPS, JPS kata Pertanian. Apabila jumpa Pertanian, JPS, terutamanya dalam soal saliran.

Baru-baru ini apabila timbul untuk hendak ambil padi. Apabila hendak ambil padi, air masih lagi menakung di dalam kawasan petak bendang. Mesin tidak boleh masuk. Kalau masuk mesin akan tenggelam, padi rosak dan juga akan menyebabkan berlakunya di sana padi yang basah. Maka, sudah tentu antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah supaya pihak JPS dan Jabatan Pertanian mesti berkolaborasi untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan food security ataupun berkenaan dengan keselamatan makanan kita.

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya mohon supaya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu diadakan. Saya sedih, saya tengok kerana saya pernah ada pengalaman sebagai Menteri, hendak menguasai, hendak control 14 agensi tidak menang sebagai seorang Menteri sahaja. Oleh sebab itu, saya harapkan supaya lantiklah Timbalan Menteri untuk menguruskan hal ehwal agama. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.

- Advertisement -