Perkenal TVET di sekolah menengah agama rakyat

Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi
- Advertisement -

TUAN Yang di-Pertua, bersempena kali pertama saya berbahas di Dewan ini, sukalah saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengundi Parlimen Kuala Kedah yang telah memberi peluang kepada saya mewakili Perikatan Nasional untuk membawa suara mereka ke Parlimen. Syabas pengundi Kuala Kedah.

- Advertisement -

Negeri Kedah sangat dikenali sebagai negeri Jelapang Padi. Padi adalah makanan ruji, makanan asas kepada rakyat Malaysia. Demi menjaga kestabilan makanan asas dalam negara, negeri Kedah telah berkorban dengan mengurangkan pembangunan di kawasan penanaman padi terutamanya dalam kawasan strategik dan Parlimen Kuala Kedah adalah sebahagian dari kawasan strategik tersebut. Pihak berkuasa negeri sedar bahawa sekiranya kawasan-kawasan ini dibangunkan dalam sektor industri dengan mengetepikan industri padi, maka sudah pasti hasil cukai tanah syarat industri dan komersial adalah lebih tinggi berbanding cukai padi.

Sumbangan pengeluaran padi bagi negeri Kedah sahaja adalah sebanyak 907,076 metrik tan bersamaan 42.84 peratus daripada pengeluaran keseluruhan padi Semenanjung Malaysia. Justeru, sebagaimana Yang Berhormat Kubang Pasu, saya memohon agar pihak kerajaan, khususnya Menteri Kewangan memperuntukkan insentif fiskal kepada Kerajaan Negeri Kedah. Maksudnya bukan wang yang ditolak daripada projek atau bayaran subsidi. Hal ini akan mewujudkan situasi menang-menang dalam pembangunan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

Kebelakangan ini ramai pihak yang menyatakan kepentingan menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai pendidikan teknikal dan latihan vokasional atau dikenali sebagai TVET. Hal ini kerana negara memerlukan tenaga kerja yang mahir, bertepatan dengan kehendak industri selaras dengan pembangunan negara. Saya berpandangan program TVET ini juga perlu diperkenalkan dan dijadikan sebahagian daripada kurikulum sekolah menengah agama rakyat terpilih.

Menurut statistik pendidikan Malaysia tahun 2022, terdapat sebanyak 116 buah sekolah menengah agama rakyat seluruh negara dengan kapasiti seramai 20,838 orang pelajar. Sekolah-sekolah ini berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri yang bernaung di bawah Bahagian Pendidikan JAKIM. Sekiranya program TVET dapat dilaksanakan di sekolah aliran berkenaan, maka pelajar-pelajar ini dapat bersaing dalam industri teknologi dan pembuatan di samping dapat menambah jumlah pekerja mahir dalam sektor industri komersial dan seterusnya dapat melahirkan golongan insan yang bekerja penuh integriti.

Sehubungan dengan itu juga, saya memohon agar pihak kerajaan di bawah Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar dapat mempertimbangkan beberapa sekolah menengah agama rakyat terpilih sebagai projek rintis bagi pelaksanaan program TVET ini seterusnya menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan Tahap 2.

Sebahagian penduduk di persisiran Pantai Kuala Kedah merupakan nelayan. Golongan nelayan ini sangat dekat di hati saya. Sehubungan dengan itu, saya memohon agar pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan lagi skim bantuan kepada golongan nelayan terutamanya melibatkan kelengkapan dan peralatan perikanan nelayan memandangkan kos peralatan semakin meningkat.

Begitu juga penyaluran Elaun Sara Hidup Nelayan yang perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa dan tidak dilupakan juga kepada insentif projek akuakultur meliputi projek kerang-kerangan, rumpai laut, udang air tawar, ikan marin, udang marin dan ikan air tawar yang dibantu oleh program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur.

Di Parlimen Kuala Kedah terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Anak Bukit, Pengkalan Kundor dan Kubang Rotan yang rata-rata bentuk geografi adalah tanah pertanian. Saya menyelami hati mereka yang mengerjakan sawah padi. Saya ingin memohon agar pihak kerajaan dapat mengkaji semula harga padi. Ini kerana kos yang ditanggung oleh petani meningkat, contohnya kos racun, pembajak, baja dan lain-lain. Harga padi terkini adalah antara RM1,250 pertan dan mohon untuk dinaikkan kepada RM1,450 pertan. Saya juga memohon agar pihak kerajaan mengkaji semula subsidi untuk insentif pembajakan satu hektar, tambahan daripada RM28 kepada RM35 perhektar.

Kuala Kedah adalah pusat pelancongan perhubungan utama untuk pelancong melancong ke Pulau Langkawi. Apatah lagi selepas pandemik Covid-19, sektor pelancongan ke Langkawi mendapat tempat daripada pelancong domestik dan antarabangsa.

Sejak April 2022 hingga Disember 2022, jumlah ketibaan pelancong adalah sekitar 200,000 orang sebulan menurut unjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Dengan peningkatan pelancong ini, Jeti Kuala Kedah ke Langkawi menjadi sesak dan tempat letak kereta menjadi padat.

Oleh itu, saya ingin memohon Yang Berhormat Menteri Pengangkutan bagi menyegerakan kerja-kerja menaik taraf Jeti Kuala Kedah ke Langkawi. Kerja naik taraf tersebut adalah merangkumi kemudahan ruang menunggu dan ruang ketibaan dalam jeti. Begitu juga dengan kemudahan tandas dan parkir kenderaan yang sesuai dengan entiti perkhidmatan pelancongan.

Daripada sektor kesihatan awam, saya suka mencadangkan agar pihak kementerian dapat menaik taraf prasarana klinik kesihatan dalam Parlimen Kuala Kedah memandangkan jumlah penduduk yang semakin bertambah. Begitu juga penambahan jumlah pegawai perubatan dan kakitangan agar perkhidmatan kepada rakyat Kuala Kedah lebih efisien dan berkesan. Pada saya, rakyat sihat, negara maju. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Kuala Kedahi, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.

- Advertisement -