Jumlah tangkapan ikan menjunam di Melaka

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat melalui kementerian berkaitan perlu mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah nelayan yang mata pencarian mereka terjejas akibat projek tambakan laut di Melaka.

- Advertisement -

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, kementerian berkenaan harus membuat kajian terperinci bagi mencari jalan penyelesaian.

“Masalah nelayan di Melaka, terutama di Wilayah Melaka Selatan, nasib seramai 560 orang nelayan memerlukan penyelesaian jangka panjang. Nelayan di Melaka adalah nelayan tradisional di zon tangkapan A, iaitu nelayan pinggir.

“Projek penambakan laut menjejaskan ekosistem, sistem biologi, tempat pembiakan ikan, perubahan aliran arus laut yang menyebabkan berlaku hakisan pantai yang semakin membimbangkan.

“Dalam tempoh lima tahun, jumlah tangkapan ikan berkurangan sebanyak 43 peratus walaupun bilangan nelayan meningkat. Data menunjukkan pada 2018, sebanyak 410,000 kilogram tangkapan ikan tetapi berkurangan kepada 226,000 kilogram pada 2022,” katanya pada perbahasan usul Titah DiRaja di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, ini juga menyebabkan udang geragau yang menjadi bahan utama membuat cencalok dan belacan semakin sukar ditemui.

Sehubungan itu, katanya kementerian berkenaan perlu membuat kajian lebih terperinci bagi menyelesaikan masalah nelayan dan penduduk setempat yang juga bergantung kepada laut sebagai sumber protein. – HARAKAHDAILY 22/2/23

- Advertisement -