Rayer buat kecoh, Tuan Ibrahim tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu teks ucapan yang dibaca oleh Yang di-Pertuan Agong menggamatkan Dewan Rakyat apabila perbahasan Titah Diraja Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) diganggu oleh RSN Rayer (PH-Jelutong).

- Advertisement -

Jelutong mencelah dengan berkata Timbalan Presiden PAS dalam ucapannya membuat sangkaan jahat, iaitu Titah Yang diPertuan Agong disediakan oleh kerajaan.

Namun Tuan Ibrahim dengan tegas berkata: “Saya pernah menjadi anggota Kabinet dan kami semua pernah duduk dalam kerajaan. Kita semua pun tahu prosedur walaupun semua terserah pada Tuanku nak pakai atau tidak, tapi asasnya disediakan dan dibentang dalam Kabinet.

Rayer yang tidak berpuas hati terus mempersoalkan bagaimana Tuan Ibrahim tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menerima kenyataan atau ucapan Titah yang disediakan oleh Kabinet.

“Kemungkinan Yang di-Pertuan Agong telah pinda. Saya minta kenyataan itu ditarik balik,” katanya.

Tuan Ibrahim mempertahankan pendiriannya dengan menyatakan tiada sebarang keperluan untuk menarik balik kenyataan itu kerana semua orang faham maksud kenyataannya.

Selain Rayer, beberapa Ahli Parlimen kerajaan mencelah dengan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berulang kali meminta Tuan Ibrahim menarik semula kenyataan itu.

“Kalau tidak terima, tidak akan ada dalam ini (menunjukkan kertas Titah Diraja),” kata Tuan Ibrahim.

Tidak berpuas hati dengan ketegasan Tuan Ibrahim, Rayer berkata ucapan Ahli Parlimen Kubang Kerian melanggar Peraturan 35(6) Mesyuarat Dewan Rakyat dan meminta Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng, membuat keputusan.

Turut bangun mempertahankan Ahli Parlimen Kubang Kerian ialah Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau).

Dewan Rakyat kembali tenang apabila Alice Lau tidak melayan permintaann Rayer dan sebaliknya meminta Tuan Ibrahim meneruskan perbahasannya.

“Semua duduk, kita minta Kubang Kerian teruskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/23

- Advertisement -