Gabungkan OSH-MP-2025 dan TVET

Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Awang Hashim (PN-Pendang) meminta kerajaan menyatakan perancangan ke arah pengintegrasian Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSH-MP-2025) dan elemen Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam silibus pengajian dalam negara.

- Advertisement -

Beliau yang juga mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata: “Adakah kementerian ada mempertimbangkan pengintegrasian pelan ini dengan elemen TVET dalam sistem silibus sebagai salah satu pelan pemerkasaan kedua-dua agenda nasional untuk semua peringkat pengajian.”

“Ia perlu bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian TVET,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, OSH-MP-25 dirangka bertujuan menerapkan nilai inklusif bagi menggalakkan penyertaan semua pihak, bertepatan dengan transformasi sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di seluruh negara.

Katanya, pelan itu mengandungi tujuh teras termasuk teras ketiga iaitu penggalakan pendidikan dan penyelidikan KKP.

“OSH-MP-2025 merupakan kerangka yang mengandungi pelbagai inisiatif peningkatan dalam kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara keseluruhannya di bawah seliaan majlis negara bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Dalam strategi ketiga pelan ini, TVET juga menjadi salah satu elemen penting serta boleh digabungkan agar mencapai maklumat yang lebih besar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga berperanan dalam memperkasakan TVET menerusi Jabatan Tenaga Manusia dan juga Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Mengikut soalan asal, Awang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan statistik terkini pelaksanaan program di bawah pelan tersebut dan tahap keberkesanan dalam meningkatkan kesedaran berkenaan KKP di kalangan pemain industri di Malaysia – HARAKAHDAILY 21/2/2023

- Advertisement -