
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dicadangkan membangun litar untuk aktiviti sukan motorcross di Batu Pahat, Kangar.
Menurut Zakri Hassan (PN-Kangar), setiap petang anak muda di sana kebanyakannya terlibat dalam aktiviti sukan motor berkenaan.
Justeru itu, beliau meminta agar KBS membantu Kangar membangunkan litar berkenaan memandangkan ia pada suatu ketika dahulu merupakan litar bertaraf antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, jika ada persatuan yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan, pihaknya tidak keberatan untuk membina litar tersebut.
“Tapi untuk pengetahuan, di bawah program sukan permotoran tentu sekali kita sedia bekerjasama, contohnya MyFit@Motorsport mungkin berbeza kategori, tapi pendekatan lebih kurang sama iaitu kelas CubPrix KBS.
“Ia turut melibatkan penyertaan lebih 600 belia di 15 negeri serta dikendalikan oleh bekas-bekas pelumba motorsikal negara termasuk seperti Wazi Abdul Hamid dan Shahrol Yuzy.
“Jadi boleh berhubung dengan KBS untuk kita bekerjasama,” katanya menjawab soalan tambahan Zakri pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Zakri juga meminta dibangunkan padang bola sepak sintetik di kawasan Sungai Batu Pahat agar anak muda mempunyai aktiviti harian sekali gus menjadi pusat sukan di Kangar.
“Untuk padang sintetik mahal, tapi kita cuba, mohon dahulu kalau ada peluang insya-Allah,” kata Adam Adli. – HARAKAHDAILY 21/2/2023











