
KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mempertikaikan penjelasan yang dikemukakan Perdana Menteri berhubung konsep Malaysia Madani dari segi pelaksanaannya.
“Apa yang saya nak soalkan di sini bukan dari sudut istilah, tapi dari sudut pelaksanaannya. 25 tahun lalu pada hujung tahun 1998 dan awal 1999, saya antara anak-anak muda yang berada di mahkamah menunggu Yang Berhormat Tambun dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.
“Sudah tentu pada masa itu untuk melihat agenda reformasi dan islah yang diangkat suatu hari nanti, cuma persoalan saya di sini, apakah melantik anggota pentadbiran di peringkat tertinggi dalam kalangan yang didakwa kes pecah amanah tidak menjejaskan agenda Madani yang diuar-uarkan,” soalnya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengikut soalan asal, beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat, meminta penjelasan Ahli Parlimen Tambun mengenai model yang digunakan dalam pembentukan konsep Membangun Malaysia Madani dan setakat manakah ia diaplikasikan secara rasmi dalam sistem pentadbiran kerajaan dan dalam pelaksanaan dasar-dasar semasa kerajaan.
Ahmad Fadhli berkata, jika kerajaan yang dibentuk ini merupakan Titah Tuanku, apakah keperluan untuk mengikat individu yang kesnya masih berjalan di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Jika dikatakan untuk mengukuhkan kerajaan, tidakkah kita diberitahu kerajaan yang dibentuk ini ialah titah tuanku dan tidak mungkin akan berlaku penarikan kerajaan kerana ia titah tuanku, tidak perlu diikat dengan sebarang jawatan
“Jika dikatakan tidak ada campur tangan politik nanti, namun tidakkah secara logik pelantikan ini nanti akan pengaruhi keputusan perbicaraan di mahkamah,” soalnya lagi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) itu sebelum ini menjelaskan istilah Malaysia Madani secara terperinci dengan mengaplikasikan dalam sistem serta dasar-dasar kerajaan. – HARAKAHDAILY 21/2/23











