
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan adakah Timbalan Perdana Menteri 1 akan dinasihatkan supaya bercuti atau meletakkan jawatan sehingga kesnya selesai dibicarakan di mahkamah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, ini selaras dengan janji dan komitmen Perdana Menteri mengenai integriti dan tatakelola yang baik serta demi memelihara maruah negara.
Beliau mengemukakan soalan itu pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi tersebut hari ini sebagaimana di bawah.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) [Lumut] minta Menteri Pertahanan menyatakan langkah-langkah ke hadapan Kementerian dalam mengatasi isu projek Littoral Combat Ship (LCS) untuk TLDM yang semakin meruncing yang mana ia menjejaskan perancangan Transformasi 15-to-5 TLDM.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan:
(a) sejauh manakah Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bertindak sebagai pengawal kepada kebebasan media yang tiada had sempadan penyebaran terutamanya di media elektronik; dan
(b) adakah Kementerian berhasrat untuk mengkaji semula akta berkaitan kebebasan bermedia bagi menangani masalah pemberita yang tidak beretika dan jujur dalam mengeluarkan kenyataan media seperti peletakan tajuk artikel yang bercanggah dengan kandungannya.
Puan Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan adakah terdapat skim bantuan khas pemula tanpa cagaran bagi membantu wanita dan anak muda untuk menceburi dan memulakan perniagaan.
Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Ekonomi menyatakan peranan Kementerian dalam:
(a) merancakkan sektor ekonomi khususnya kepada golongan belia yang masih belum pulih dari kesan pandemik Covid-19; dan
(b) menangani kemelesetan permintaan dari pasaran buruh kepada golongan belia akibat kenaikan gaji minimum.
Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah komitmen Kerajaan untuk memajukan ekonomi kawasan sempadan antara Pengkalan Hulu, Malaysia dan Betong, Thailand. Bandar Pengkalan Hulu telah sekian lama suram dan tiada aktiviti ekonomi yang berimpak tinggi, berbanding daerah Betong, Thailand sedangkan ia merupakan pintu masuk negara dan ia melambangkan imej negara Malaysia.
Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam menyelesaikan masalah parkir yang semakin meruncing di kuarters penjawat awam dan perumahan penjawat awam (PPAM) di Putrajaya.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan apakah status terkini cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah remedi yang boleh diterima oleh mangsa yang diceroboh data peribadi dan siapakah badan atau agensi berkaitan yang boleh dirujuk oleh mangsa.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah pertuduhan berprofil tinggi membabitkan ahli politik dan pegawai awam yang belum dibawa ke muka pengadilan untuk dijatuhi hukuman dan secara terperinci apakah sebab-sebab ia ditangguhkan.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan dalam tempoh tiga tahun lalu berapa ramai graduan yang masih menganggur.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Perdana Menteri menyatakan adakah pihak Kerajaan bercadang untuk membina pusat pemindahan kekal banjir di Tumpat memandangkan keperluan dan kekerapan banjir yang dialami.
Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan perancangan Kementerian untuk membentangkan Akta Pendanaan Politik bagi mengatasi isu pendanaan asing seperti yang pernah dihebahkan sebelum ini.
Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan penjelasan mengapa Kerajaan bersifat memilih dan bersikap double standard untuk membanteras isu di media sosial, yang mana akaun-akaun TikTok yang menyuarakan hak kebebasan politik Pembangkang disekat, namun akaun-akaun Twitter yang menyebarkan pornografi ataupun akaun ‘Dark Side’ (DS) tidak diambil apa-apa tindakan.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Perdana Menteri menyatakan status tindakan Kerajaan terhadap laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang diserahkan kepada Kerajaan pada Ogos 2020.
Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk memperkenalkan Akta Pendanaan Politik bagi membendung gejala politik wang dan penyelewengan dana dalam kalangan pemimpin dan parti politik.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri menyatakan blueprint Kerajaan PH-BN untuk meningkatkan iklim pelaburan tempatan bagi menarik semula pangkalan pengeluaran yang membabitkan kesemua segmen ekonomi dan industri utama negara susulan pemecahan geopolitik serta hubungan tegang Amerika Syarikat-China.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan jelaskan sejak dilancarkan berapa jumlah langganan Data Pelan Perpaduan dan daripada jumlah itu, apakah wujud perbezaan langganan melibatkan demografi bandar dan luar bandar.
Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan:
(a) langkah Kerajaan bagi menangani masalah inflasi dan kenaikan harga barang; dan
(b) adakah Kerajaan berhasrat meneruskan subsidi kepada barangan keperluan asas termasuk ayam, minyak masak serta barangan yang lain.
Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Perdana Menteri menyatakan apakah dasar Kerajaan dalam melantik dan mengisi jawatan-jawatan utama khususnya Peguam Negara.
Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Perdana Menteri menyatakan bagaimana konsep dan gagasan Malaysia Madani boleh dicapai serta direalisasikan sekiranya ada dalam kalangan barisan Jemaah Menteri yang terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Pertahanan menyatakan jumlah anggota tentera laut, udara dan darat yang berkhidmat tidak mencukupi tempoh perkhidmatan berpencen sehingga tahun 2022 serta nyatakan kebajikan yang diberikan.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan gangguan internet di pedalaman berlaku disebabkan vandalisma kabel gentian optik yang dirosakkan atau set generator dicuri. Bagaimanakah Kementerian mengatasi masalah terbabit disamping memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komunikasi yang menyeluruh melalui penyediaan liputan internet membabitkan talian tetap dan mudah alih.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Timbalan Perdana Menteri 1 akan dinasihatkan supaya bercuti atau meletakkan jawatan sehingga kesnya selesai dibicarakan di mahkamah selaras dengan janji dan komitmen Perdana Menteri mengenai integriti dan tatakelola yang baik serta demi memelihara maruah negara.
Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Perdana Menteri menyatakan perancangan Kerajaan untuk menyelesaikan masalah penduduk di Bukit Malut yang telah tertunggak selama 30 tahun dan kini menjadi masalah sosial yang kritikal dan membawa imej tidak selesa kepada pelancongan.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan berapakah jumlah syarikat atau individu utama yang terlibat dengan kartel sektor bahan dan apakah langkah menghadapi kartel tersebut seperti yang tertulis di dalam Manifesto PH – Kita Boleh.
Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah usaha Kementerian untuk menghapuskan kartel dalam sektor makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan mengaut keuntungan melampau.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah polisi dan panduan yang digunakan oleh Kementerian dalam membuat keputusan pemendekan dan pembaharuan kontrak Naib Canselor universiti-universiti awam.
Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Perdana Menteri menyatakan berapa data dan statistik berkaitan mangsa-mangsa scammer di Malaysia berserta jumlah kes yang telah didakwa dan dijatuhkan hukuman pada tahun 2022 dan apakah usaha-usaha yang telah dilakukan dan perancangan masa hadapan Kementerian dalam berdepan isu scammer yang semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. – HARAKAHDAILY 20/2/2023




















