Troussier naik pangkat, dilantik ketua jurulatih Vietnam

- Advertisement -

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengesahkan bahawa bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier, akan mengambil alih sebagai ketua jurulatih baharu pasukan negara itu.

- Advertisement -

Mengikut VFF, persetujuan telah dicapai dengan jurulatih berasal dari Perancis itu untuk mengendalikan dua pasukan, iaitu skuad senior kebangsaan dan bawah 23 tahun negara itu berikutan pemergian jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo.

“Pemilihan untuk jawatan ini dijalankan dengan teliti oleh VFF dengan proses yang sangat ketat,” kata badan bola sepak negara itu dalam laman sesawang mereka.

“VFF dan Philippe Troussier pada dasarnya telah mencapai kata sepakat dan persetujuan mengenai kandungan berkaitan jawatan itu… serta matlamat dan tugasan dalam tempoh yang akan datang.”

Troussier yang sebelum ini mengetuai pasukan bawah 19 tahun Vietnam, dijangka diumumkan secara rasmi pada satu majlis di Hanoi sebelum akhir bulan ini.

Vietnam layak ke Piala Asia yang dijadualkan berlangsung di Qatar, awal tahun depan dan menamatkan saingan sebagai naib juara Piala AFF 2022 bulan lalu, tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir peringkat Asia Tenggara.

Perlawanan akhir itu adalah kali terakhir yang dikendalikan oleh Park selepas dia mengumumkan tidak akan menyambung kontraknya selepas lebih lima tahun memimpin pasukan kebangsaan dan bawah 23 tahun Vietnam.

Troussier mempunyai sejarah mengagumkan dalam bola sepak Asia apabila membawa Jepun merangkul kejuaraan Piala Asia pada tahun 2000, kejayaan yang turut menyebabkannya dinamakan sebagai jurulatih terbaik Asia.

Dua tahun kemudian, dia mengemudi Jepun ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia yang dianjurkan bersama Jepun dan Korea Selatan.

Dia juga pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Qatar dan di China sebagai ketua jurulatih pasukan liga Shenzhen Ruby dan Hangzhou Greentown.

Jurulatih berusia 67 tahun itu pada mulanya terkenal sebagai jurulatih di Afrika, membimbing Ivory Coast, Nigeria dan Burkina Faso sebelum membawa Afrika Selatan ke Piala Dunia 1998 di Perancis. – REUTERS

- Advertisement -