Projek PTP membimbangkan penduduk Kepala Batas

Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, membangkitkan isu projek perindustrian Taman Teknologi Pulau Pinang (PTP) yang mendapat tentangan penduduk di kawasannya.

- Advertisement -

Menurutnya, penduduk menegaskan bahawa Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Lalulintas (TIA) perlu dipatuhi.

Selain itu, katanya penduduk bimbang dengan kebanjiran warga asing menyebabkan ada usaha untuk membina asrama pekerja asing yang boleh memberi impak sosial yang negatif kepada penduduk.

“Membantah asrama pekerja asing tanpa membantah pembinaan projek PTP seolah-olah sikap seperti ala kadar dan juga persoalannya, adakah terdapat jaminan bahawa hanya pekerja dan pakar tempatan akan diutamakan?

“Saya dimaklumkan semalam oleh penduduk yang Perdana Menteri sendiri akan merasmikan PTP yang dibantah dan menjadi kemarahan rakyat Kepala Batas pada 11 Mac, saya mohon kepada menteri untuk mengambil pertimbangan ini,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, katanya kajian organisasi antarabangsa, Studocu menyenaraikan lapan sungai yang paling tercemar di Pulau Pinang dan antaranya ialah Sungai Kereh.

“Popularnya Sungai Kereh ini adalah isu pencemaran najis babi yang berlaku sejak 40 tahun. Apakah komitmen pihak berkuasa untuk menangani isu ini sehingga ke hari ini, isu ini masih dibawa kepada pihak Parlimen Kepala Batas?

“Kita melihat tercemarnya sungai-sungai ini yang semakin mengecil, sumber air bersih yang dibekalkan kepada rakyat Kepala Batas, menyebabkan Sungai Muda kini menjadi sumber air bersih yang sangat bernilai untuk Pulau Pinang.

“Berikutan pertikaian antara Pulau Pinang dan Kedah yang menjadi isu yang kian berlarutan. Sebagaimana Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: ‘telah nampak kerosakan di darat, di laut disebabkan tangan-tangan manusia’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara ini dapat diperjelaskan, terutama berkaitan sempadan sungai sebagaimana sempadan perairan laut yang diukur dari pantai sebelum jarak yang ditentukan sebagai perairan antarabangsa. – HARAKAHDAILY 16/2/2023

- Advertisement -