Hormati hak ahli parlimen pembangkang

Dr Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

DALAM kesempatan ini juga seperti rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain, saya juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Turkiye dan Syria yang diuji dengan musibah gempa bumi yang berlaku pada awal Februari yang lalu.

- Advertisement -

Dalam Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini banyak menyentuh pelbagai perkara berkaitan dengan hasrat baginda untuk melihat kerajaan pada hari ini melaksanakan beberapa perkara penting untuk kesejahteraan rakyat. Saya ingin mengambil bahagian untuk memfokuskan lima perkara penting, antaranya di para lima ucapan baginda menyentuh tentang menjadikan sebuah kerajaan yang stabil dan utuh. Dalam hal ini saya ingin menarik perhatian tiga perkara penting. Pertamanya perlu wujud kepimpinan yang adil dan berintegriti. Pemimpin kerajaan jangan ada sikap pilih kasih dan double standard, dengan izin. Sama ada terhadap wakil rakyat pembangkang atau rakyat yang memilih Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.

Pada aspek perbezaan politik, kerajaan jangan menafikan hak rakyat terutamanya paling penting kerajaan perlu menghormati hak rakyat memilih Ahli Parlimen pembangkang sebagai wakil rakyat mereka. Berikan hak mereka melalui peruntukan kepada wakil rakyat. Semua Ahli Parlimen bekerja untuk rakyat tanpa mengira ideologi politik. Bukan khusus kepada ahli atau penyokong parti semata-mata. Saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Kota Melaka yang menyarankan supaya kerajaan memberikan peruntukan yang sama rata kepada semua Ahli-ahli Parlimen dan dalam hal ini saya bersetuju dengan pandangan Pengerusi Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) Thomas Fann bahawa pemberian peruntukan yang tidak sama rata dan saksama kepada semua wakil rakyat dilihat umpama satu hukuman kepada rakyat kerana memilih wakil rakyat yang tidak berpihak kepada kerajaan. Ini pandangan Bersih yang menyokong kerajaan.

Saya juga menyeru Yang Amat Berhormat Tambun memulakan suatu amalan politik baharu dengan menghormati hak Ahli Parlimen pembangkang selain berperanan sebagai check and balance, dengan izin. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Kedah sejak 2020 yang lalu tidak pernah menafikan hak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri khususnya pembangkang dengan memberi peruntukan kepada mereka. Begitu juga dengan Kerajaan Negeri Perak, dalam Bajet 2023 yang baru-baru ini turut mengumumkan peruntukan kepada semua 59 orang ADUN Perak.

Jadi dalam hal ini saya ingin menarik perhatian tentang perintah Allah SWT supaya berlaku adil, dalam Surah al-Maidah ayat 5 [yang bermaksud]: “Wahai orang yang beriman, hendak lah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menegakkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu melakukan kebencian dan tidak melakukan keadilan, hendak lah berlaku adil kerana adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.”

Dr. Hajjah Halimah Ali [Kapar]: Setuju tak Yang Berhormat Jerlun bahawa sama ada di sana ataupun di sini semuanya adalah Ahli Dewan Rakyat. Maknanya semuanya dipilih oleh rakyat. Jadi itulah dia status kita sama tetapi ada di sebelah sana yang jadi eksekutif, di sini legislatif. Sebelah sana pun bukan semuanya eksekutif, legislatif juga. Jadi semuanya sama lah, betul ya? Setuju atau tidak Yang Berhormat Jerlun?

Dr. Haji Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun]: Saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat Kapar bahawa kita tidak ada yang membezakannya. Taraf kita Ahli Parlimen. Cuma bezanya kerajaan dengan pembangkang.

Keduanya dari segi integrasi antara kaum untuk mewujudkan kestabilan politik. Kestabilan negara juga bergantung kepada integrasi antara kaum. Dalam negara kita ini banyak kaum, termasuk di Sabah dan Sarawak. Dalam hal ini kerajaan perlu memastikan setiap pemimpin, setiap rakyat menzahirkan rasa hormat terhadap perbezaan hak yang dijamin di sisi Perlembagaan Persekutuan. Umpamanya Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang Tanah Simpanan Melayu, Perkara 152 (bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan), Perkara 153 (hak istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri) dan Perkara 160 (tafsiran orang Melayu sebagai penganut agama Islam).

Dalam hal ini, Astro Awani pada 10 Februari 2023 yang lalu melaporkan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang telah menggesa kerajaan membuat reformasi perkhidmatan pendidikan yang dia mendakwa didominasi oleh orang Melayu. Perkhidmatan awam, maafkan saya. Kenyataannya telah mendapat bantahan awam daripada netizen dalam media maya, parti politik khususnya Perikatan Nasional dan CUEPACS. Ini dilaporkan oleh Astro Awani pada 12 Februari 2023 yang lalu. Jadi saya menggesa supaya kerajaan bersikap serius dalam menangani isu berkaitan dengan rasis terhadap bangsa-bangsa yang ada di Malaysia.

Perkara yang kedua yang ingin saya sentuh iaitu tentang penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam. Ia perlu diberikan perhatian oleh kerajaan – inilah dua aspek yang sangat dekat di hati rakyat. Dua aspek ini lah yang menjadi buah mulut rakyat di kedai-kedai kopi, dalam majlis-majlis atau perjumpaan wakil rakyat dengan rakyat. Bagi orang kampung jika dua aspek ini diurus dengan baik, ia menjadi satu penyelesaian masalah dalam kehidupan mereka. Ia menjadi kebanggaan kepada mereka. Rakyat tidak lagi marah kepada wakil rakyat ataupun kerajaan yang memerintah. Dari sudut infrastruktur sama ada menyentuh tentang jalan-jalan di bawah Kerajaan Persekutuan seliaan JKR, jalan negeri peruntukkan di bawah MARRIS JKR juga, jalan-jalan kampung di bawah KKDW ataupun jalan-jalan seperti MADA, FELDA, FELCRA dan sebagainya.

Saya difahamkan berdasarkan kepada pertemuan-pertemuan dengan jabatan-jabatan kerajaan khususnya di peringkat daerah Kubang Pasu yang kawasan Jerlun terlibat dalam daerah tersebut. Agensi-agensi kerajaan tersebut mengadu hal bahawa peruntukan pembangunan telah pun dipotong dan pengumuman itu sendiri dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sedangkan Bajet 2023 belum lagi dibentangkan. Jadi, saya ingin tahu berapakah jumlah peruntukan infrastruktur yang dipotong mengikut agensi-agensi yang saya nyatakan tadi.

Kemudahan awam juga Seri Paduka Baginda sentuh khasnya di pinggir bandar ataupun di luar bandar seperti masjid, surau, dewan orang ramai, bank, pejabat-pejabat kerajaan, pejabat pos, balai polis dan sebagainya. Semua ini kemudahan untuk rakyat khususnya di pinggir bandar ataupun di luar bandar. Saya ingin tahu adakah kerajaan juga mengehadkan pembinaan kemudahan awam tersebut. Jika ya, ini akan menyusahkan rakyat dan membebankan rakyat kerana berlaku peningkatan kos perbelanjaan mereka.

Rakyat terpaksa berbelanja lebih hanya untuk menyelesaikan bayaran-bayaran kecil seperti bayaq bil air, bil api, telefon, cukai tanah, urusan pos dan sebagainya untuk berurusan di pusat bandar, di pekan atau di kota. Secara tidak langsung, kos sara hidup rakyat semakin bertambah. Ini akan meningkatkan kadar kemiskinan kepada rakyat sebagai mana yang ditegaskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Satu lagi saya ingin menyentuh tentang rancangan kerajaan terdahulu di bawah Yang Berhormat Bera yang bersetuju membina pelabuhan laut dalam di Sanglang daerah Kubang Pasu, Kedah dalam Parlimen Jerlun. Projek ini dicadangkan oleh Kumpulan Albukhary dan mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Kedah. Melalui projek ini akan dibina jambatan darat (land bridge) yang menghubungkan antara Sanglang dengan Songkhla. Ia juga menyingkatkan jarak dan masa perjalanan antara Selat Melaka di timur dengan Teluk Siam di barat. Ia juga dapat meningkatkan hubungan dua hala antara rakyat Malaysia dan Thailand khasnya wujudnya perniagaan di pintu-pintu sempadan.

Selaras dengan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu yang mahu melihat aspek kemudahan awam kepada rakyat diberikan tumpuan oleh kerajaan. Saya sangat-sangat mengharapkan kerajaan memberikan kebenaran, memberikan keizinan kepada Kerajaan Negeri Kedah dan Kumpulan Albukhary agar dapat meneruskan rancangan projek tersebut dan projek ini tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Menyentuh tentang isu menjana pertumbuhan ekonomi, saya ingin menarik perhatian tentang pelaksanaan Malaysian Short-Term Employment Programme (MySTEP). Setahu saya MySTEP ini diwujudkan untuk membuka peluang pekerjaan kepada warganegara Malaysia khasnya yang berumur 18 tahun ke atas termasuk mereka yang baru menamatkan pengajian universiti. MySTEP ini khusus untuk mereka. Ini yang diwujudkan oleh kerajaan dan diwujudkan pada 2021.

Malangnya, saya menerima satu aduan daripada seorang wanita yang berada di kampung. Dia sebut kepada saya, dia bekerja dengan sebuah agensi kerajaan pada tahun 2007 yang lalu secara kontrak. Akan tetapi, dia mendapat satu tawaran kerja daripada kontrak ditukarkan kepada MySTEP sedangkan dia sudah berusia. Bukan 18 tahun, bukan graduate universiti dan diberi tempoh perkhidmatan itu enam bulan dan disebut tangga gaji.

Jadi, saya ingin mendapat jaminan daripada pihak kerajaan adakah kakitangan kerajaan yang bersifat kontrak ini ditukarkan kepada MySTEP dan mereka ini ada jaminan bekerja secara kontrak sebelum mereka ditawarkan sejak awal. Jadi, saya pohon penjelasan kerajaan.

Isu yang keempat tentang projek perumahan rakyat khususnya di Jerlun, ya. Saya difahamkan SPNB bertanggungjawab untuk menjualkan dan menyelenggarakannya. Hari ini saya difahamkan permohonan dibuka semula sedangkan pemohon-pemohon yang telah memohon sejak 2017 yang lalu telah pun diluluskan. Jadi, saya pohon pertanyaan kepada kementerian yang berkenaan mengapa ia dibuka semula. Mengapakah berlaku pemilihan semula? Adakah ada kepentingan tertentu kepada pemohon-pemohon tersebut?

Terakhir tentang transformasi institusi dan undang-undang. Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya My Story: Justice in the Wilderness telah mendedahkan isu pelantikan hakim. Wujud campur tangan dalam sistem kehakiman negara, pendakwaan politik dan sebagainya sewaktu menjadi Peguam Negara di zaman kerajaan PH ketika itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang ketujuh.

Merujuk kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) pada 27 Oktober 2022 di bawah kerajaan Yang Berhormat Bera, menubuhkan Pasukan Petugas Khas (PPK). PPK telah menjalankan 19 konsultasi terhadap pihak-pihak yang berkepentingan. Saya ingin mempersoalkan siapakah ahli PPK tersebut. Mengapakah Majlis Peguam Malaysia mempertikaikan kuorum PPK dan menyatakan wujud ketidaksaksamaan dan keupayaan ahli PPK tersebut?

Ketiga, apakah dapatan dan syor-syor PPK tersebut kepada kerajaan?

Yang akhir sedikit tentang isu undang-undang syariah. Isu undang-undang syariah ini berkaitan dengan perkahwinan sindiket di Thailand.

Saya telah bertanyakan soalan ini kepada kerajaan tetapi dijawab secara bertulis. Cuma, isu yang perlu diberikan perhatian iaitu tentang aspek penguatkuasaan. Kita tidak boleh sekat perkahwinan secara di selatan Thailand ini sama ada kali pertama ataupun poligami. Baik, saya mencadangkan kerajaan mengenakan hukuman penjara. Oleh sebab dalam peruntukan undang-undang itu ia ada denda dan penjara. – HARAKAHDAILY 16/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 15 Februari 2023.

- Advertisement -