Contohi petani, nelayan dan penternak dalam bermuafakat

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sikap petani, nelayan dan penternak dalam bermuafakat boleh kerajaan contohi dalam usaha memulihkan masalah ekonomi, politik, dan sosial negara.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, sikap kerjasama mereka seperti nelayan yang tidak turun ke laut seorang diri dan pesawah yang berpakat menjaga petak wajar diambil nilainya di situ.

“Bagaimana nelayan tidak akan turun ke laut seorang diri, tidak ada penanam padi yang yang menjaga petaknya tanpa berpakat dengan petak-petak di sebelahnya.

“Justeru itu, di sini dapat dilihat pentingnya kita untuk pemulihan negara ini perlu kepada satu muafakat ekonomi dan muafakat politik serta satu kerja berpasukan, muafakat, yang saling menyokong, saling melindungi dan tidak menyisihkan apatah lagi memulau sesama sendiri,” katanya semasa perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Syahir, ini suatu pengajaran yang sangat penting untuk diteladani dan diaplikasikan dalam konteks yang lebih besar iaitu prinsip Federalisma yang perlu dijunjung oleh semua.

Katanya, begitulah yang sewajarnya dilakukan pihak kerajaan dan swasta, iaitu seiring dalam bekerjasama memulihkan ekonomi.

Mengulas mengenai pendekatan ‘Menu Rahmah’ yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, kata Syahir, golongan B40 dan M40 menyambut baik inisiatif berkenaan.

Namun katanya, inisiatif itu dibimbangi dari aspek kelestarian terhadap peniaga-peniaga yang menyambut dan memperkenalkan ‘Menu Rahmah’ mereka kepada pengguna.

“Timbul kegusaran di pihak peniaga, bagaimana perkara ini boleh dipastikan kelestariannya dan memberikan keuntungan sama rata kepada pihak swasta.

“Yang penting ialah kerjasama pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Tambah beliau, hubungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu dijalin dengan baik tanpa sebarang unsur menyisihkan mana-mana kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan.

Menurut, jika di Dewan Rakyat ramai Ahli-ahli Dewan Rakyat mengungkapkan Kerajaan Perpaduan dan Malaysia Madani, konsep itu perlu selari dengan sikap kerajaan.

“Justeru, inilah ujian pertama Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani, iaitu untuk memastikan prinsip ini ditunaikan dan bagaimana hak yang perlu ada, perlu diberikan kepada Kelantan sebuah negeri yang turut mempunyai sumber minyak dan gas.

“Tetapi sehingga hari ini tidak diluaskan secara telus pembayaran royalti petroleum lima peratus yang termasuk dalam perjanjian dan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974,” katanya.

Sementara itu, empat faktor lain yang wajar dicontohi daripada nelayan, petani dan penternak ialah, perancangan, produktiviti, persaingan sihat dan ketentuan Allah. – HARAKAHDAILY 16/2/2023

- Advertisement -