Entiti konstruktif: PH-BN jangan nafi peruntukan pembangkang

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Untuk berfungsi sebagai pembangkang yang konstruktif kepada kerajaan pada hari ini, Kerajaan PH-BN tidak boleh menafikan hak wakil-wakil rakyat dalam blok pembangkang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan perlu bersikap adil dan telus dalam memberikan segala peruntukan kepada setiap ahli parlimen, sama ada kerajaan ataupun pembangkang.

Menurut beliau, ia seperti mana saranan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang menyeru agar blok pembangkang bertindak sebagai sebuah entiti yang konstruktif bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

“Kita mengharapkan juga Kerajaan PH-BN, menghormati pilihan rakyat yang telah memilih kami sebagai Ahli Parlimen.

“Justeru itu, segala peruntukan yang diberikan kepada ahli parlimen pembangkang kena sama juga dengan apa yang didapati oleh ahli parlimen kerajaan,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas titah Al Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini.

Ujar beliau, pihaknya juga terpaksa menghadapi rakyat yang susah dan wang tersebut diperlukan untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

Menurutnya, setiap hari sememangnya ada rakyat hadir ke pejabat meminta wang untuk bantuan.

Beliau berkata, mereka meminta bantuan itu bukannya berpura-pura tetapi sememangnya adalah golongan yang susah.

“Saya periksa juga dengan kawan-kawan dan pimpinan-pimpinan yang ada di kampung, memang betul mereka ini susah dan memerlukan.

“Justeru itu kita terpaksa bagi duit walaupun kadang-kadang kita bagi seorang RM50, kadang-kadang yang hadir setiap hari minta bantuan sampai enam orang, sudah RM300.

“Jadi sudah tentulah memerlukan kewangan yang banyak terutamanya untuk membantu golongan yang miskin,” katanya yang juga Naib Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -