
KUALA LUMPUR: Satu webinar Al Quds akan berlangsung pada 15 Febuari ini, kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Muhammad Najhan Halim.
Menurutnya, Webinar Al Quds itu merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang oleh Lajnah Antarabangsa Dewan Ulamak PAS Pusat sebagai anggota Jawatankuasa Khas Penganjuran Sambutan Minggu Al Quds Sedunia peringkat PAS Pusat.
Katanya, webinar kali ini amat istimewa kerana pihak Lajnah Antarabangsa Dewan Ulamak PAS Pusat telah menjemput dua orang wakil yang pakar berkaitan Al Quds dari Kesatuan Ulamak Sedunia iaitu Sheikh Dr Ahmed Al Umar yang merupakan Ketua Lajnah Al Quds dan Dr Samer Saed selaku Naib Ketua Lajnah Al Quds.
“Kedua-dua panel ini sememangnya mereka yang secara langsung dalam penganjuran Minggu Al Quds Sedunia,” ujarnya.
Menurutnya lagi, moderator jemputan pada webinar itu ialah Dr Zuhaili Saiman.
Beliau berkata, Sheikh Al Umari bakal membicarakan ceramahnya bertajuk Peranan Ulamak dalam Menghadapi Wa’dul Akhirah sementara Dr Samer Saed membahas tentang tema Minggu Al Quds Sedunia, Bersama Kembalikan Al Quds.
Webinar itu juga, ujarnya turut menampilkan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nushi Mahfodz selaku.
Tambahnya, panel-panel yang hebat itu akan berucap dalam Bahasa Arab dan akan diterjemahkan oleh penterjemah yang disediakan oleh penganjur.
Justeru, kata beliau Lajnah Antarabangsa Dewan Ulamak PAS Pusat dan Jawatankuasa Khas Minggu Al Quds Sedunia peringkat PAS Pusat menyeru orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan itu dengan menonton webinar Al Quds atas talian menerusi Facebook LIVE HARAKAHDAILY pada 15 Februari, jam 9.00 malam.
“Ayuh semarakkan Sambutan Minggu Al Quds Sedunia peringkat PAS Pusat dari 15 sehingga 21 Febuari 2023,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Minggu Al Quds Sedunia peringkat PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 13/2/2023











