
NURDAGI, TURKIYE: Pasukan penyelamat berlumba dengan masa untuk menarik mangsa yang terselamat dari runtuhan bangunan sebelum mereka mati akibat cuaca sejuk, dua hari selepas gempa bumi melanda selatan Turkiye dan utara Syria yang dilanda peperangan.
Jumlah kematian meningkat melebihi 7,800 dan dijangka terus meningkat.
Dua hari terakhir membawa penyelamatan dramatik, termasuk kanak-kanak kecil yang muncul dari timbunan runtuhan lebih 30 jam selepas gempa yang berlaku sebelum subuh Isnin.
Namun, terdapat juga perasaan putus asa yang meluas dan tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap usaha menyelamat yang disifatkan perlahan di beberapa kawasan.
“Ia seperti kita bangun ke neraka,” kata Osman Can Taninmis, yang ahli keluarganya masih berada di bawah runtuhan di Hatay, wilayah paling teruk dilanda gempa di Turkiye.
“Kami tidak boleh bertindak balas terhadap apa-apa pun. Bantuan tidak datang, tidak boleh datang. Kami tidak dapat menghubungi sesiapa pun. Di mana-mana musnah,” katanya.
Di Syria, penduduk menemui bayi baru lahir yang menangis dengan tali pusat masih bersambung kepada ibunya, yang telah meninggal dunia. Bayi itu adalah satu-satunya ahli keluarganya yang terselamat daripada bangunan runtuh di bandar kecil Jinderis, kata saudara mara kepada The Associated Press.
Pasukan pencari dan penyelamat dari hampir 30 negara dan ikrar bantuan terus mengalir masuk. Namun dengan kemusnahan yang meluas di beberapa bandar dan pekan – sesetengah tempat terasing akibat konflik berterusan Syria – suara yang menjerit meminta pertolongan dari dalam timbunan runtuhan menjadi senyap.
Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter dan gegaran susulan yang kuat memusnahkan sebahagian besar kawasan dengan kemusnahan menjangkau ratusan kilometer merentasi tenggara Turkiye dan negara jiran, Syria.
Gegaran itu meruntuhkan beribu-ribu bangunan dan menambahkan lagi kesengsaraan di wilayah yang dilanda perang saudara selama 12 tahun dan krisis pelarian Syria.
Turkiye menempatkan berjuta-juta pelarian dari kawasan perang. Kawasan yang terjejas di Syria dibahagikan antara wilayah yang dikuasai kerajaan dan kawasan yang dikuasai penentang kerajaan dengan berjuta-juta orang bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.
Longgokan logam dan konkrit yang tidak stabil menjadikan usaha pencarian berbahaya, manakala suhu yang membeku menjadikan keadaan lebih mendesak kerana kebimbangan semakin meningkat mengenai berapa lama mangsa yang tersepit boleh bertahan dalam kesejukan.
Pegawai kecemasan kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Adelheid Marschang, berkata hampir 23 juta orang boleh terjejas di seluruh kawasan yang dilanda gempa bumi yang disifatkannya sebagai sebagai “krisis di atas segala krisis.”
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata 13 juta daripada 85 juta penduduk negara itu terjejas dan beliau mengisytiharkan darurat di 10 wilayah.
Lebih 8,000 orang diselamatkan dari runtuhan di Turkiye dan kira-kira 380,000 berlindung di tempat perlindungan atau hotel kerajaan, kata pihak berkuasa. – AP











