
Pengurus Flamengo, Vitor Pereira, menyalahkan pengadil berikutan kekalahan mengejut pasukannya 3-2 kepada Al Hilal dari Arab Saudi pada separuh akhir Piala Kelab Dunia yang menurut pengurus dari Portugal itu, berpihak kepada lawan.
Al Hilal menang menerusi dua sepakan penalti oleh Salem Al Dawsari dan rembatan jarak dekat Luciano Vietto pada babak kedua, ketika Flamengo hanya tinggal 10 pemain selepas pemain tengah Gerson dibuang padang pada masa kecederaan babak pertama.
“Kami bersedia menentang Al Hilal, tetapi tidak bersedia menghadapi pengadil yang tidak memenuhi piawaian pertandingan,” dakwa Pereira pada sidang akhbar selepas perlawanan di Tangier, Maghribi.
“Terdapat kekurangan kriteria yang sangat besar, dia adalah pengadil yang provokatif dan jika bukan kerana keperibadian pemain kami, saya yakin kami akan menamatkan permainan dengan lebih banyak kad merah.”
Pereira mendakwa pengadil berat sebelah dan mempunyai kriteria berbeza untuk mengeluarkan kad kuning dan merah. Flamengo dilayangkan empat kad kuning pada babak pertama dan tiga lagi pada babak kedua, manakala Al Hilal hanya dikenakan tiga kad kuning.
“Satu-satunya percubaan ke arah pintu gol Al Hilal pada babak pertama ialah penalti. Oleh itu, jika perlawanan berakhir 11 lawan 11, kami adalah pasukan yang lebih baik.
“Kami mengambil tindakan, tetapi tidak dapat menterjemahkannya kepada gol. Pada babak kedua, kekurangan seorang pemain menyebabkan keadaan menjadi sukar,” katanya.
Jurulatih Al Hilal, Ramon Diaz , tidak bersetuju dengan pandangan Pereira dan berkata penalti itu dilihat dengan baik oleh pengadil.
“Flamengo tidak menyangka kami akan menukar corak permainan daripada 4-3-3 kepada 4-4-1-1, dengan Luciano Vietto berperanan sebagai pemain tengah menyerang.
“Vietto ibarat hantu di belakang pemain tengah mereka yang kami kenal pasti tidak bagus menghadap cabaran pemain kami. Dia (Vietto) cemerlang dan menjaringkan gol hebat untuk kami,” katanya.
Al Hilal menjadi pasukan Arab Saudi pertama mara ke final Piala Dunia Kelab, akan menentang pemenang separuh akhir antara wakil Eropah, Real Madrid dan wakil Afrika, Al Ahly di Rabat, hari ini.
Flamengo menjadi pasukan Brazil keempat dan juara Amerika Selatan keenam yang tewas pada separuh akhir Piala Dunia Kelab. – REUTERS











