Mahkamah batal SPR, Pegawai Pengurus sebagai responden

Takiyuddin bersama pasukan peguam daripada LUHAM.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pempetisyen untuk membatalkan dua responden iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi petisyen pilihan raya parlimen Gua Musang.

- Advertisement -

Peguam respoden Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya dikejutkan dengan keputusan yang disifatkan sebagai jarang berlaku dalam sebarang persidangan mahkamah di negara ini.

Katanya antara sebab penarikan tersebut ialah tempat mengundi yang didakwa tidak wujud sebagai pusat pembuangan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

“Keputusan penarikan itu dibuat setelah pihak SPR dalam bantahan awal antaranya membangkitkan apa yang didakwa berlaku perlanggaran undang-undang.

“Sebuah sekolah yang tidak wujud dalam senarai tempat mengundi di Gua Musang adalah antara sebab pempetisyen menarik balik SPR dan Pegawai Pengurus dinamakan sebagai responden,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes terbabit hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Roslan Abu Bakar menetapkan tarikh 26 Februari ini bagi mengumumkan bantahan awal petisyen tersebut.

Pada 3 Januari lepas wakil calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Mohd Azmi Mahmood memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan PRU15.

Pempetisyen menamakan Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim; Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab Fatah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Pada PRU tersebut Tengku Razaleigh tewas kepada Mohd Azizi dengan majoriti 163 undi.

Responden diwakili pasukan peguam Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi PAS (LUHAM) yang diketuai Takiyuddin. Turut hadir peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Nik Bahrum Nik Abdullah.

Pempetisyen pula diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen. – HARAKAHDAILY 8/2/2023

- Advertisement -