
GAZIANTEP, TURKIYE: Pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam di Turkiye dan Syria, menarik lebih banyak mayat daripada runtuhan beribu-ribu bangunan yang tumbang akibat gempa bumi dahsyat.
Angka kematian meningkat menghampiri angka 10,000 menjadikan gempa bumi ini paling banyak mengorbankan nyawa dalam tempoh lebih sedekad.
Dalam kejadian gempa bumi di Jepun pada 2011 yang mencetuskan tsunami, hampir 20,000 orang terbunuh.
Agensi Pengurusan Bencana Turki menyatakan angka kematian di negara itu meningkat kepada 7,108, menjadikan jumlah keseluruhan korban kepada 9,638, termasuk kematian yang dilaporkan di negara jiran Syria, sejak gempa bumi dan beberapa gegaran susulan pada Isnin lalu. Seramai 40,910 orang pula cedera.

Di Syria, Kementerian Kesihatan menyatakan jumlah kematian di kawasan yang dikuasai kerajaan meningkat kepada 1,250 orang dan 2,054 cedera. Sekurang-kurangnya 1,280 orang pula maut dan 2,600 cedera di kawasan barat laut yang dikuasai penentang.
Ketika gesaan supaya kerajaan menghantar lebih banyak bantuan ke zon bencana, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akan pergi ke bandar Pazarcik yang menjadi pusat gempa dan ke wilayah Hatay yang paling teruk dilanda musibah itu.
Turkiye kini mempunyai kira-kira 60,000 kakitangan bantuan di zon yang dilanda gempa bumi, tetapi dengan kemusnahan yang begitu meluas ramai yang masih menunggu bantuan. – AP











