
KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan menilai semula kewajaran meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) 2.0.
Pengerusi Pembela Gerakan Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, berkata tidak berlaku penambahbaikan dokumen perjanjian tersebut daripada versi sebelumnya.
Sedangkan katanya perkara itu boleh mengancam ekonomi negara terutamanya perusahaan kecil dan sederhana PKS yang berjumlah lebih 1.15 juta.
“Kalau PKS selama ini kerajaan bantu, tetapi kalau kerajaan setuju untuk ratifikasi, maka polisi dan dasar kerajaan membantu membangunkan industri itu akan hancur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada himpunan menggesa kerajaan menarik balik ratifikasi CPTPP, di Dataran Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.
Memorandum bantahan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri. Puluhan wakil kumpulan NGO hadir termasuk Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).
Sebelum ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilapor berkata, Malaysia komited untuk melaksanakan CPTPP, malah tiada penilaian semula berhubung perjanjian tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim difahamkan telah menandatangani semua dokumen pentadbiran yang diperlukan untuk memastikan eksport dan import di bawah perjanjian tersebut dapat diteruskan.
Mohd Zai juga berkata, sekiranya CPTPP diratifikasi juga ia akan turut memberi kesan negatif kepada petani, nelayan dan penternak tempatan.
“Oleh itu, kita menyeru perdana menteri yang mementingkan kedaulatan negara, rakyat serta ekonomi tempatan supaya mengkaji semula perjanjian tersebut.
“Bentangkan kepada awam termasuk NGO untuk dinilai semula bagi kepentingan rakyat di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19 /1/2023











