UMK, persatuan pelancongan bantu 200 mangsa banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan 15 pemain industri termasuk persatuan pelancongan bergabung tenaga membantu meringankan beban lebih 200 mangsa banjir di seluruh negara.

- Advertisement -

Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) UMK, Dr Roslizawati Che Aziz berkata, bantuan keseluruhan berjumlah RM100,000 diagih kepada penduduk terjejas akibat bencana menerusi program We Care We Share.

Katanya, program berkenaan merupakan cetusan idea penuntut dan kakitangan FHPK yang sukarela membantu golongan memerlukan.

“Program tersebut bertepatan dengan situasi semasa dialami penduduk terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang akibat bencana Monsun Timur Laut,” katanya di sini.

Turut hadir, bekas Diplomat dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London, Datp’ Seri Zakaria Sulong yang menyampaikan sumbangan.

Dr Roslizawati juga berkata, gabungan warga universiti dan industri pelancongan menyerah sumbangan kepada 20 keluarga asnaf, 160 penuntut dan staf UMK, 50 komuniti di Pasir Puteh serta 11 pengamal media Kelantan yang terkesan banjir.

Katanya sumbangan disalurkan dalam bentuk wang tunai, makanan keperluan asas termasuk beras, makanan asas, air mineral serta selimut, tilam dan bantal.

“Program seperti ini akan diadakan secara berterusan dengan penyertaan lebih banyak industri, agensi, badan bukan kerajaan dan usahawan serta orang perseorangan amat dialu-alukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/1/2023

- Advertisement -