
KOTA BHARU: Sehingga jam 11.47 pagi tadi seramai 3,621 mangsa banjir masih lagi mendiami 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.
Mangsa banjir di PPS SK Gual Tinggi paling ramai iaitu 1,121 orang sejak ia dibuka pada 18 Disember lalu.
Manakala seramai 993 penduduk masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Sri Rantau Panjang 2 (612 orang).
Tumpat pula sehingga sekarang mempunyai enam PPS dengan jumlah mangsa banjir 1,182 orang.
Cuaca di Kelantan sejak lima hari lalu nampak cerah. Bagaimanapun tengah hari ini di Kota Bharu mulai mendung.
Sebahagian besar mangsa banjir sudah pulang semula ke rumah masing-masing, bermula semalam.
Aktiviti-aktivi membersihkan rumah penduduk dilakukan secara gotong-royong membabitkan ahli keluarga dan sukarelawan.
Selain itu ada NGO turun padang mengagihkan makanan, membantu membersih rumah mangsa banjir khususnya di Rantau Panjang, Pasir Puteh, Tumpat dan Pasir Mas.
Skuad Gonyoh Gaha turut turun padang bersama team melaksanakan aktiviti membersih rumah-rumah mangsa banjir.
Tinjauan Harakahdaily ke Rantau Panjang semalam kelihatan banyak longgokan perabot, barangan elektrik dan pelbagai peralatan rumah yang rosak di hadapan rumah mangsa-mangsa banjir. – HARAKAHDAILY 26/12/2022











