
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen (MP) Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, yang mengeluarkan perkataan biadap semalam.
Awang ketika menjelaskan kekecohan semalam memberitahu bahawa beliau menyatakan: “kami tak mahu menjadi kera.”
Bagaimanapun, katanya Mohd Sany membalas dengan berkata: “Pendang beruk.”
Menurutnya, tindakan Hulu Langat menyalahi Peraturan Mesyuarat Perkara 36(4), iaitu penggunaan sesuatu bahasa, perkataan atau ungkapan yang kurang sopan (biadap) atau apa-apa pernyataan seksis oleh Ahli-ahli Dewan adalah merupakan kesalahan.
Bagaimanapun, Johari berkata tidak `clear’ (jelas) mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Hulu Langat menyebabkan Awang meminta perkara itu diteliti.
Ketika Awang menyuarakan perkara ini, Lip Lim Eng (PH-Kepong), menyampuk dengan mempersoalkan mengapa perkara ini tidak dibangkitkan semalam.
Bagaimanapun, Awang membalas dengan meminta Lim Eng diam kerana tidak tahu apa-apa mengenai perkara dibangkitkannya. – HARAKAHDAILY 20/12/2022




















