Tidak sampai 24 jam pindah semula ke PPS

- Advertisement -

PASIR MAS: Tidak sampai 24 jam pulang ke rumah selepas kira-kira lima hari berada di pusat pemindahan sementara (PPS), penduduk Kampung Serungga, Repek, terpaksa berlindung semula di PPS hari ini, apabila air banjir naik dengan begitu cepat.

- Advertisement -

Mangsa banjir, Siriyanu Ibrahim berkata, beliau sekeluarga baru saja dibenarkan pulang ke rumah tengah hari semalam, namun kediamannya sekali lagi dinaiki air kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ibu kepada enam anak itu berkata, angin dan hujan lebat berterusan sejak jam 2 pagi tadi menyebabkan air naik dengan begitu cepat.

“Semalam kami baru pulang ke rumah, hari ini kami terpaksa kembali berpindah ke PPS ekoran air banjir memasuki rumah dengan begitu cepat.

“Alhamdulillah, bagaimanapun saya sekeluarga serta orang kampung selamat berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang (SKSK), dekat sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Zawiah Che La turut meluahkan rasa syukur kerana beliau dan keluarga bersama cucunya selamat berada di PPS.

“Alhamdulillah, sedikit perasaan lega apabila saya dan anak-anak serta cucu selamat dipindahkan ke PPS,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2022

- Advertisement -