
BAGI mengelakkan sebarang salah faham, kami pihak Jabatan Amal Malaysia sebenarnya sudah menerima dan akur arahan yang dikeluarkan semalam oleh Ketua Polis Negara yang tidak membenarkan semua NGO dan sukarelawan membantu di kawasan operasi SAR.
Kami percaya selepas 24 jam mangsa runtuhan yang masih belum dijumpai dan tidak ada bukti kemungkinan masih hidup atau boleh diselamatkan, maka ia dianggap sebagai kes mangsa korban atau mangsa hilang di bawah bidang kuasa PDRM untuk meneruskan misi siasatan.
Dalam tempoh masa 24 jam atau lebih mengikut tempoh sesuatu bencana itu, adalah tempoh misi mencari dan menyelamat yang diletakkan di bawah bidang kuasa NADMA atau mana-mana agensi penyelamat, dan kini saya difahamkan kawasan tersebut diletakkan di bawah kawalan PDRM sebagai tempat kes siasatan orang hilang yang tidak boleh dimasuki oleh mana-mana individu tanpa kebenaran pihak PDRM dikhuatiri mengganggu siasatan.
Bagi saya, ia bukan isu anggota Amal turun bantu tanpa kebenaran atau tidak terlatih, sekalipun ada yang sebut bahawa tempat tersebut tidak selamat dan sebagainya. Jika tidak selamat untuk turun dari awal lagi pihak Jabatan Bomba dan SMART tidak benarkan kami turun, tetapi dalam tempoh bidang kuasa JBPM, kami Anggota Amal mendaftar bertugas seperti biasa dan dibenarkan turun bagi membantu mencari dan menyelamat mangsa yang kemungkinan masih hidup lagi di kawasan SAR.
Sebagai rekod, kami pernah turun bersama pasukan Bomba dalam pelbagai misi SAR dan hampir semua tempat merbahaya namun dengan pemantauan dan ilmu yang di ajar pihak JBPM. Kita telah turun dalam pelbagai misi SAR dengan selamat sebagai contoh Operasi SAR di Bukit Broga, Operasi Tengas Bukit Fraser, Operasi Sungai Kim Kim, operasi kanak-kanak lemas di Balakong, di Sungai Bakau dan banyak lagi.
Bagi mengelakkan pelbagai salah faham terhadap Jabatan Amal Malaysia, saya ingin perjelaskan bahawa kehadiran kami di kawasan SAR pada hari pertama kejadian tanah runtuh di Batang Kali telah diterima baik oleh agensi kerajaan JBPM dan melalui proses dan SOP ketat.
Justeru itu, kami menghormati bidang tugas pihak berkuasa dan tanpa kompromi akur segala arahan pihak berkuasa dan semalam walaupun tidak dapat turun membantu operasi SAR kami tetap hadir bagi menyampaikan bantuan makanan kepada petugas-petugas di lapangan.
Semoga kenyataan ini dapat memberi penjelasan yang baik sebagai sudut pandangan dan posisi kami di Jabatan Amal Malaysia, wallahua’lam.
#BeramalKeranaAllah
SHEHDI HAZRIK SHAMSUDIN
Pengarah Bahagian Operasi
Jabatan Amal Malaysia – HARAKAHDAILY 18/12/2022




















