
KOTA BHARU: Tindakan kerajaan PH-BN memaksa setiap ahli parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada usul undi percaya di Dewan Rakyat Isnin ini dianggap bertentangan dengan kebebasan bersuara setiap ahli parlimen.
Akademia Psikosiolinguistik dari UPSI, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, tindakan itu memperlihatkan pelanggaran hak amalan demokrasi dan memperlihatkan kepincangan terdesak perdana menteri mahu mengekalkan kuasa eksekutif.
Katanya situasi itu berlaku kerana tiada blok parti yang mendapat majoriti mudah untuk menubuh kerajaan Persekutuan selepas PRU15.
“Sedangkan sebelum itu Tan Sri Muhyiddin telah menghantar SD yang mendakwa cukup sokongan tetapi Pengerusi BN memohon menangguh titah agar dilanjutkan waktu. Sedangkan tindakan itu suatu pelanggaran yang mencetuskan polemik.
“Tindakan Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicara tentang parti yang ‘mungkin’ mendapat mandat minimum 115 daripada 222 kerusi parlimen berlandaskan perlembagaan,” katanya di sini.
Semalam, parti komponen yang menyokong Anwar ‘dipaksa’ menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama sebagai langkah penguatkuasaan undang-undang anti lompat parti melalui akta-akta secara kumulatif.
Pada perjanjian tersebut setiap ahli parlimen yang menyokong Anwar mesti mengundi percaya kepadanya. Dan ahli parlimen yang gagal, enggan atau cuai dari berbuat sedemikian dikira melanggar tanggungjawab sebagai ahli parlimen secara individu kepada parti yang diwakili mereka.
Pelanggaran itu sekali gus akan menyebabkan mereka diberhentikan daripada menjadi ahli parlimen serta kerusi beliau juga akan dikosongkan mengikut kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli parlimen yang bertindak sedemikian juga dikehendaki untuk mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut.
Dr Zulkeflee juga berkata, penubuhan kerajaan perpaduan tidak pernah ada dalam teks tiga halaman yang dikeluarkan Istana Negara sebelum ini.
“Dari segi kamus, kosa kata perpaduan ialah penyatuan sesebuah masyarakat atau pun kumpulan dan jiran mereka.
“Dalam konteks ini, kata campuran atau gabungan lebih tepat berkaitan suasana di lapangan namun pandangan dari sudut politik sering silang kata dengan makna realiti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/12/2022




















