
PASIR MAS: Pasukan Aman Wanita (AMANITA) Kontinjen Kelantan mengambil insiatif memberi khidmat nasihat kepada golongan wanita, terutama mereka yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pegawai Turus AMANITA, Deputi Superintendan Kavitha Nadarajah, berkata khidmat tersebut bagi memberi kesedaran untuk mengurangkan jenayah gangguan seksual.
Katanya, aktiviti itu turut dijalankan bagi memberi nasihat secara bersemuka kepada mangsa banjir dan mengikuti perkembangan semasa mereka.
“Pendedahan wajar diberi memandangkan tempoh masa mereka tinggal di PPS agak lama dan dibimbangi berlaku sebarang gangguan terhadap golongan wanita.
“Bagaimanapun setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan berkenaan gangguan seksual di PPS,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiamban di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah.
Kavitha juga berkata, penubuhan AMANITA dengan menyasarkan golongan suri rumah sebagai rakan polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan kejiranan.
Oleh itu, kata beliau orang ramai dinasihat membuat laporan kepada polis jika menghadapi sebarang gangguan seksual.
Sementara itu, Nik Aminuddin berkata, PDRM mengadakan rondaan 24 jam di kawasan banjir bagi memastikan keselamatan kediaman mangsa yang berpindah supaya berada keadaan baik dan selamat.
Katanya, rondaan itu termasuk mengawal sempadan negara daripada dibolosi penyeludup.
“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan berkaitan kes penyeludupan yang cuba memasuki negara ini terutama ketika banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2022











