Kajian sosioekonomi tingkat pendapatan rakyat

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, meninjau keadaan Pasar Besar Machang
- Advertisement -

MACHANG: Pasar Besar Machang dianggap sebagai makmal kajian sosioekonomi yang penting bagi masyarakat termasuk di jajahan Machang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, pasar besar merupakan pusat denyut nadi ekonomi rakyat.

Katanya, urus niaga di pasar berjalan lancar sebagai tempat menjual pelbagai jenis barangan bagi keperluan harian.

“Di sini kita boleh dapatkan data hiliran (downstream). Dengan kepakaran bijak pandai dari universiti khusus dalam kalangan anak-anak muda, kita boleh kenal pasti cabaran terbesar isi rumah penduduk di Machang,” katanya dalam kenyataan di laman sosialnya.

Beliau juga berkata, daripada kajian tersebut dapat dibangunkan penyelesaian jangka panjang secara mampan untuk mempertingkatkan pendapatan dan kuasa beli penduduk.

“Dengan data yang ada, kita dapat padankan apa sahaja insentif termasuk geran, bantuan dan segala inisiatif dari kerajaan atau swasta untuk meningkat taraf hidup rakyat.

“Saya dapat gambaran kasar tentang sosioekonomi Machang melalui pemerhatian di Pasar Besar Machang. Potensinya luas untuk dicambah melalui perencanaan dasar oleh kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/12/2022

- Advertisement -