2,575 mangsa banjir dipindah ke PPS di lima negeri

Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor menziarahi mangsa banjir di PPS SMK Seri Semantan, malam tadi.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sehingga jam 4.30 petang ini seramai 2,575 mangsa banjir daripada 770 keluarga ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri.

- Advertisement -

Jumlah mangsa banjir terbabit melibatkan Pahang, Terengganu, Perak, Kelantan dan Johor.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) paling ramai mangsa banjir dipindahkan di Kelantan iaitu seramai 1,769 orang yang ditempatkan di tujuh PPS.

Jumlah mangsa banjir paling ramai ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh seramai 704 orang, SK Gual Periok (493 orang) dan SK Kubang Kual (203 orang).

Cuaca di Kota Bharu hari ini agak cerah dengan sekala sekala hujan renyai-renyai.

Di Pahang pula seramai 451 mangsa banjir ditempatkan di PPS SK Kerayong (9 orang), SK Seri Buntar (26 orang) dan Dewan Sivik Seri Semantan, Temerloh (370 orang).

Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor menziarahi mangsa banjir di PPS SMK Seri Semantan malam tadi.

Katanya, kawasan yang dinaiki air melibatkan Kampung Batu Kapor Bawah, Kampung Batu Kapor Atas, Kampung Sungai Buluh dan Kampung Gajah Mati.

“Semua warga Temerloh perlu bersiap sedia dan berwaspada memandangkan hujan masih berterusan. Alhamdulilah semua pihak agensi memberi khidmat terbaik,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Di Terengganu, seramai 187 mangsa banjir dipindahkan ke PPS SK Atas Tol 58 orang dan SK Bukit Nenas, Kuala Nerus ((57 orang).

Di Johor pula dua PPS dibuka iaitu Balai Raya Gemereh IV, Batu Badak (27 orang) dan Balai Raya Kampung Kuala Paya (7 orang).

Manakala di Perak seramai 134 mangsa banjir daripada 31 keluarga ditempatkan SMK Abdul Rahman Talib, Hilir Perak. – HARAKAHDAILY 12/12/2022

- Advertisement -