
KOTA BHARU: Sehingga pagi ini seramai 1,486 mangsa banjir daripada 460 keluarga dipindahkan ke enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan.
Keenam-enam PPS itu terletak di jajahan Pasir Mas iaitu di Sekolah Kebangsaan Tok Deh Rantau Panjang yang merupakan PPS pertama dibuka Sabtu lepas, kini menempatkan seramai 648 mangsa banjir.
Menurut Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS turut dibuka di Putat Tujoh, Sekolah Kebangsaan Kubang Kual, Sekolah Kebangsaan Gual Periok, Masjid Mukim Padang Licin dan Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang.
Biarpun keadaan hujan kembali reda sejak malam tadi, namun PPS semakin bertambah berbanding petang semalam hanya empat PPS dibuka.
Sementara itu Adun Demit Dato’ Mumtaz Md Nawi turut meninjau perkembangan banjir di DUN terbabit akibat air hujan bertakung kerana saluran tersumbat. (Foto atas)
Banjir itu berlaku di Mukim Demit dan Mukim Telok Baru. – HARAKAHDAILY 12/12/2022











