
NIBONG TEBAL: Hari ini berlangsungnya hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tinjauan Harakahdaily di Parlimen Nibong Tebal sejak pagi tadi sehingga ke tengah hari mendapati pertambahan kenderaan dari semasa ke semasa berikutan orang ramai mengambil peluang keluar mengundi.
Selain itu, banyak premis kedai ditutup kecuali premis francais seperti Speedmart, Econsave dan lain-lain pasaraya ekoran kerajaan negeri Pulau Pinang memberi cuti khas pada 18 November, sehari sebelum pengundian PRU15 untuk menggalakkan rakyat di negeri ini keluar mengundi.
Jalan persekutuan dari Jawi menghala ke Sungai Bakap trafik masih berjalan lancar yakni laluan utama untuk menuju ke pusat-pusat mengundi seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jawi dan beberapa lagi lokaliti yang dijadikan pusat mengundi selain dari arah bertentangan turut berjalan lancar.
Kesesakan ke pusat mengundi masih terkawal dengan bantuan anggota polis trafik, polis bantuan dan RELA.
Keadaan cuaca cerah sejak pagi tadi sehingga jam 12 tengah hari tadi antara faktor hari mengundi di Parlimen Nibong Tebal berjalan dengan baik setakat ini.
Malah tidak ada sebarang aktiviti raih undi dari penyokong yang mendirikan khemah parti masing-masing berhampiran pusat mengundi.
Parlimen Nibong Tebal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandang bagi dua penggal berturut-turut Datuk Mansor Othman (PERIKATAN NASIONAL) dicabar Fadhlina Sidek (PH), Datuk Seri RS Thanenthiran (BN) dan seorang calon bebas, Goh Kheng Huat.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Nibong Tebal dimenangi Mansor yang ketika bertanding atas tiket PKR dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) dengan jumlah undi sebanyak 19,578 undi manakala Mohd Helmi Harun (PAS) memperoleh 6,875 undi dan Tan Tee Beng (Bebas) (331 undi). HARAKAHDAILY 19/11/2022




















