
BACHOK: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Bachok Syahir Sulaiman terharu menerima pesanan ringkas daripada Dato’ Seri Mustapa Mohamed yang turut mendoakan kemenangannya.
Syahir berkata, bekas ahli parlimen Jeli itu mendoakan supaya Allah mengurniakan kemenangan kepada PERIKATAN NASIONAL di Bachok dan seluruh Malaysia.
“Saya begitu terharu menerima pesanan ringkas daripada Tokpa seorang tokoh besar politik tanah air yang juga berasal dari Bachok.
“Kata-kata perangsang itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus bekerja bagi mendekati pengundi di seluruh tempat pengundian di parlimen Bachok,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kubang Golok.
Menurutnya beliau mulai melawat pusat pengundian bermula jam 8 pagi dan sehingga tengah hari enam pusat mengundi sudah dilawati.
Kata beliau juga proses pengundian berjalan lancar, teratur dan tertib memandangkan keadaan cuaca sebelah pagi begitu baik.
“Saya berharap peratusan keluar mengundi lebih tinggi pada sebelah petang. Semua pengundi khususnya anak-anak muda hendaklah pakat keluar mengundi ramai-ramai dalam ruang yang masih ada sekarang.
“Hendaklah kita meriahkan tempat mengundi dengan tunaikan tanggungjawab demi kebaikan kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2022




















