Pengalaman bersama BN dan PH kecewakan penduduk

- Advertisement -

PARIT: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) P.069 Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib melihat gelombang perubahan sedang berlaku pada PRU15 ini adalah kerana kekecewaan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Menurut beliau, rata-rata penduduk ditemui beliau sepanjang hampir dua minggu berkempen memberi reaksi demikian atas pengalaman selama ini hingga menzahirkan peralihan sokongan memberangsangkan dan positif kepada PN.

“Saya tengok, mood kali ini luar biasa. Penduduk berpusu-pusu turun hadir dan mengikuti aktiviti kempen dan penerangan yang kami jalankan,” ujar Ustaz Ismi yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Parit di Kampung Perah, di sini semalam.

Katanya, penduduk juga tidak boleh menerima pemimpin yang telah terpalit dengan isu rasuah, dan mereka juga tidak dapat menerima pemimpin terpalit isu moral di mana sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk berkuasa.

Tambahan beliau, kejadian banjir yang melanda begitu banyak tempat menyebabkan sekolah yang sepatutnya menjadi Pusat Pengundian terpaksa digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir di situ. 

“Ini antara sebab kenapa rakyat begitu marah dan meluat melihat sikap dan tindakan pemimpin, walaupun mereka sebelum ini adalah penyokong tegar kepada parti tersebut,” ulas beliau mengajak rakyat di semua peringkat untuk merehatkan dahulu BN.

Jelasnya, ia supaya memberi peluang kepada pemimpin dalam parti itu melakukan muhasabah dan membuang segala kekeruhan, serta menolak sepenuhnya pemimpin PH yang berada di bawah penguasaan DAP.

Dalam masa yang sama, Ustaz Ismi turut mengingatkan bahawa rakyat sebenarnya memiliki tanggungjawab untuk memastikan pemimpin bakal dipilih nanti adalah benar-benar dapat membawa dan memperjuangkan aspirasi rakyat Malaysia seluruhnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -