Afnan usaha tangani isu penjaja dan status tanah

Calon PERIKATAN NASIONAL P.009 Alor Setar

- Advertisement -

HARI ini hari yang paling gembira. Ada dua isu yang dibangkitkan oleh penduduk sekitar Alor Setar sepanjang tempoh kempen telah ada tindakan segera daripada Kerajaan Negeri. Alhamdulillah. 

- Advertisement -

1. Isu penjaja di tepi jalan yang tidak berlesen

Para penjaja mengadu supaya pihak Kerajaan Negeri cari satu solusi menang-menang antara mereka dengan kerajaan. 

Tindakan:

Isu ini telah saya panjangkan kepada pihak Kerajaan Negeri. Dimaklumkan, penjaja-penjaja berkenaan akan diberi lesen sementara oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). 

Maksudnya, penjaja-penjaja akan dianggap berniaga secara sah setelah mereka diberi lesen sementara ini. Proses ini difahamkan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai bulan Disember tahun ini. 

Untuk tujuan ini, proses bancian akan dilaksanakan oleh pihak MBAS bagi menilai tapak penjaja tersebut. Jika tapaknya sesuai dan tidak mengganggu persekitaran, penjaja boleh terus berniaga di tapak tersebut secara sah. 

Bahkan, difahamkan bahawa tapak berkenaan akan ditambah baik oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, jika tapaknya didapati tidak sesuai, maka akan diganti dengan tapak lain yang sesuai dan selamat. 

Ketetapan ini selaras dengan pengumuman YAB Dato’ Seri Menteri Besar di dalam Ucapan Bajet 2023 mengenai kebenaran bebas berniaga yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023. 

2. Isu status tanah Kampung Seberang Terus

Penduduk asal di kampung tersebut mengadu mengenai status tanah yang mereka duduki sejak zaman nenek moyang mereka dahulu yang masih belum dapat hak milik.

Tindakan:

Isu ini juga telah saya sampaikan kepada pihak berkenaan. Difahamkan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di dalam mesyuaratnya pada hari Rabu 18 November 2022 (semalam) telah membuat keputusan dasar supaya Pejabat Tanah Kota Setar memproses permohonan hak milik tanah di Kampung Seberang Terus ini. 

Walaupun proses pentadbiran ini akan memakan sedikit masa, namun ianya merupakan satu kelegaan buat penduduk kampung yang memperjuangkan isu ini sejak sekian lama. 

Alhamdulillah. Dua isu yang besar ini berjaya disampaikan kepada pihak Kerajaan Negeri. Tindakan pantas oleh YAB Dato’ Seri Menteri Besar dan pegawai tinggi kerajaan telah memberi kelegaan kepada masyarakat Alor Setar setelah isu ini berbangkit sejak sekian lama. 

Moga usaha kecil ini dapat membantu meringankan bebanan rakyat Alor Setar. 

AFNAN HAMIMI
17 November 2022
Alor Setar – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -