Mengurus warga emas keluar mengundi mencabar ketika banjir

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Penyandang kerusi parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff bimbang sekiranya berlaku banjir pada hari mengundi 19 November ini menyebabkan penduduk sukar keluar mengundi.

- Advertisement -

Katanya bagi penduduk yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) boleh mengundi, namun pengundi yang berada di rumah menghadapi masalah untuk datang ke pusat pengundian.

“Ini kerana terdapat laluan di kawasan yang rendah mudah ditenggelami air menyebabkan kenderaan tidak boleh ke rumah pengundi.

“Pada masa yang sama ada pula perahu tidak boleh digunakan untuk mengambil pengundi disebabkan paras air yang cetek.

“Petugas juga akan berdepan cabaran mengurus pengundi warga emas untuk dibawa keluar ke tempat mengundi,” katanya ketika ditemui pada program Hi-Tea bersama beliawanis dan muslimat di Pusat Khidmat Parlimen Rantau Panjang, dekat sini semalam.

Hujan lebat di kawasan hulu Kelantan sejak beberapa lalu menyebabkan kawasan rendah di Rantau Panjang mula dinaiki air antaranya Kampung Tok Deh, Kampung Padang Licin dan sekitarnya.

Sebelum ini menteri mewakili PERIKATAN NASIONAL tidak bersetuju Perdana Menteri membubarkan Dewan Rakyat di musim tengkujuh kerana ia menyukarkan rakyat keluar mengundi.

Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau simpati kepada rakyat yang terpaksa bersusah payah untuk keluar mengundi pada musim banjir.

Menurutnya juga buat masa ini PPS di seluruh Parlimen Rantau Panjang bersedia menerima mangsa banjir yang dipindahkan.

“Di DUN Gual Periuk mempunyai 17 sekolah yang menjadi Pusat Pemindahan Sementara,” ujarnya.

Beliau juga berharap rakyat di negara ini khususnya Kelantan menunaikan solat sunat hajat dan perbanyakkan doa semoga tidak berlaku banjir pada hari mengundi 19 November ini. – HARAKAHDAILY 12/11/2022

- Advertisement -