
KUALA LUMPUR: Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan jaminan kerakyatan automatik kepada anak angkat tidak sesuai dilaksanakan secara tergesa-gesa ketika ini, kata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.
Jelas beliau, warganegara adalah hak eksklusif yang mempunyai kepentingan mutlak kepada negara serta hak istimewa mengundi bagi menentukan kuasa politik dan hala tuju negara.
“Kerangka asas negara ini mestilah diterima dan difahami secara jelas serta ketaatan yang penuh.
“Ia melibatkan Islam agama persekutuan, Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang melayu, Bahasa Melayu, tanah rizab Melayu.
“Selain itu juga melibatkan masyarakat majmuk dan perpaduan nasional mestilah diterima oleh setiap warganegara tanpa soal,” katanya kepada Harakahdaily, semalam.
Jelas beliau, ia juga mesti dilihat daripada sudut undang-undang syariah terhadap hukum dan hak anak angkat serta berkait fiqh al daulah (kenegaraan), di mana Malaysia adalah tanah Melayu yang majoritinya adalah orang Melayu dan Islam adalah agama persekutuan.
“Ianya perlu diteliti dengan cermat dan berhati-hati kerana akan memberi kesan dan akibat buruk kepada masa depan kedaulatan agama, bangsa dan negara.
“Tidak mustahil ini akan memberi kesan politik dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Tambah Mohd Zai lagi, jaminan kerakyatan kepada anak angkat secara automatik turut memberi kesan buruk terhadap masyarakat.
“Anak angkat tidak mempuyai hubungan secara langsung (sah secara perundangan) dengan keluarga angkat, malah boleh dieksploitasi bagi kepentingan tertentu seperti tujuan pemilikan harta,ekonomi, kuasa politik dan sebagainya.
“Jangan gadaikan kedaulatan ini (warganegara) demi untuk mendapat kuasa,” katanya.
Pada PRU15, PH menawarkan jaminan kerakyatan diberikan kepada anak angkat melalui pindaan terhadap undang-undang Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 11/11/2022











