PAS Perlis julung kali tampil calon wanita

- Advertisement -

PADANG BESAR: PAS Perlis buat julung kalinya menampilkan seorang calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Calon DUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad, 46 merupakan anak jati Padang Siding, seorang peguam syarie yang mempunyai syarikat guaman di Alor Setar, Kedah.

Beliau lebih mesra dengan panggilan Kak Wan dalam kalangan penduduk mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pauh, Arau kemudiannya menyambung pengajian di Sekolah Menengah Agama Al-Islahiah, Behor Mali.

Selepas mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beliau melanjut pelajaran ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Selepas setahun di matrikulasi, Kak Wan meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Wan Badariah berkata, cita-cita menjadi peguam sejak kecil menjadi realiti selepas berjaya menamatkan pengajian dalam bidang tersebut.

“Jika ditakdirkan Allah menang dalam PRU kali ini, Kak Wan akan menjadikan tugas peguam sebagai jambatan menghubungkan masyarakat dan memudahkan urusan mereka yang memerlukan khidmat guaman syariah.

“Selain itu, Kak Wan juga akan memastikan nasib wanita yang dianiaya terbela,” katanya ketika ditemui, di sini.

Kak Wan turut melibatkan diri dalam kerja kebajikan sejak di bangku sekolah. Beliau sering mengikuti ibunya menghadiri mesyuarat dan program-program anjuran PAS.

DUN Mata Ayer sebelum ini disandang Siti Berenee Yahaya dari Barisan Nasional selepas memenanginya pada PRU14 dengan majoriti 720 undi.

Pada PRU kali ini Siti Berenee turut dicabar Amran Kamarudin yang mewakili Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 10/11/2022

- Advertisement -