
BANDAR BARU BANGI: Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir yang mewakili PERIKATAN NASIONAL tidak gentar bertanding di Parlimen Bangi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti sebanyak 68,768 undi.
Lulusan undang-undang dan syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berusia 27 tahun itu mengakui bahawa majoriti undi yang PH perolehi sangat besar.
Namun, katanya keadaan ketika itu adalah gelombang untuk mengubah kerajaan dan keutamaan ketika itu ialah untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memilih PH.
“Keadaan sekarang (PRU15) berbeza kerana pertambahan pengundi dari 178,790 pengundi kepada 303,430 pengundi, pertambahan pengundi muda dan saingan lapan penjuru menyebabkan setiap parti mempunyai peluang sama rata.
“Setakat ini, kita mendapat banyak maklum balas positif daripada warga Bangi yang mahukan perubahan kepada PERIKATAN NASIONAL. Sebab itu, kita yakin insyaAllah mampu untuk mengubah persepsi di kalangan pengundi Bangi dan melakar sejarah berjaya menawan Parlimen Bangi,” katanya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah, turut mengakui bahawa Parlimen Bangi adalah kubu kuat PH.
Bagaimanapun, katanya PERIKATAN NASIONAL akan melawan habis-habisan dan jika boleh buktikan dapat melawan PH, itu adalah suatu kemenangan.
“Mood rakyat kelihatan boleh menyebelahi kita yang bergerak atas gabungan PN dengan kekuatan sejarah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin negara ketika dilanda pandemik Covid-19, kita mampu mendapat jumlah undi lebih banyak,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Nazrul Hakim, berazam untuk memperkasakan suara orang Bangi dari semua peringkat umur dan latar belakang di Parlimen.
Katanya, isu-isu di Bangi adalah sama seperti berlaku di negara ini seperti kos sara hidup dan pendapatan rendah, manakala isu paling spesifik di Bangi ialah kesesakan lalu lintas dan masalah pengangkutan awam yang terlalu bergantung kepada MRT.
“Kita hendak perkasakan semua ini supaya masalah yang berlaku dapat diatasi, terutama pengangkutan awam yang lebih efisien.
“Bangi memerlukan lebih banyak pengangkutan awam dengan projek MRT perlu merangkumi kawasan Bangi , Balakong, Kajang dan juga Putrajaya. Begitu juga dengan pengangkutan lain seperti bas yang perlu diperkasakan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2022




















