Pasang cip penjejak kesan pergerakan gajah liar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dicadang memasang kolar penjejak (cip) pada gajah yang berada di hutan bagi mengesan pergerakan haiwan itu keluar dari habitat asal.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kaedah itu memudahkan menjejaki mamalia berkenaan bagi mengesan pergerakan memasuki ke kawasan kampung.

Katanya, perbincangan awal diadakan dengan berkenaan memandangkan haiwan liar tersebut sering memasuki kampung dengan memusnahkan tanaman penduduk.

“Diharap penggunaan kolar penjejak yang menggunakan teknologi satelit dapat mengesan kawasan gajah sekiranya hidupan liar itu berpindah ke lokasi lain,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRU15 PAS Kelantan hari ini.

Abdul Latiff yang juga calon PERIKATAN NASIONAL Kuala Krai berkata, PERHILITAN dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah akan memindahkan dua ekor gajah liar di Kampung Chatel, Lata Rek hari ini.

“Saya difahamkan gajah terbabit berkeliaran di kawasan itu sejak beberapa tahun lepas. Bagaimanapun operasi penangkapan gajah tersebut dijangka selesai selewat-lewatnya petang ini,” ujarnya.

Sementara itu, katanya beliau akan berusaha meningkatkan kualiti infratruktur dan penempatan penduduk di Kuala Krai secara menyeluruh bagi menangani masalah banjir.

Menurutnya perlu ada pusat pemindahan sementara di tempat yang lebih tinggi untuk membolehkan penduduk dipindahkan ketika berlaku banjir. – HARAKAHDAILY 9/11/2022

- Advertisement -