
KUALA LUMPUR: Tawaran PERIKATAN NASIONAL yang diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan sebuah tawaran yang bersifat komprehensif (lengkap) dan boleh dilaksana.
Calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam berkata, tawaran berkenaan memberi tumpuan mengenai keprihatin kerajaan kepada rakyat, dan tawaran kerajaan yang bersih dan stabil.
Katanya, 12 tunjang yang diperkenalkan tawaran PERIKATAN NASIONAL itu merangkumi semua segmen masyarakat, termasuk wanita, anak muda, peniaga kecil dan sederhana, pendidikan dan lain-lain.
“Semua segmen masyarakat terlibat, sangat komprehensif. Cuma, jika PERIKATAN NASIONAL dipilih menjadi kerajaan pada 19 November ini, pelaksanaan itu akan diperhalusi dari segi teknikal,” katanya dalam sidang media, di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional Titiwangsa, di sini, hari ini.
Menurut Ahli Jawatankuasa Wanita PERIKATAN NASIONAL itu, tawaran yang dikemukakan itu juga menitik beratkan dapatan kajian dan cadangan daripada pakar.
Katanya, PERIKATAN NASIONAL tidak menawarkan sebuah janji bulan dan bintang, kemudian berlepas tangan dengan menganggap ‘Manifesto bukan kitab suci’.
“Apabila kita berbincang mengenai tawaran, kita perlukan sesuatu yang ‘doable’ (boleh dilaksana). KIita tidak boleh tawarkan bulan dan bintang, kemudian lepas tangan kata ‘bukan kitab suci’, tak perlu begitu.
“Sebab itu kajian mengenai tawaran PERIKATAN NASIONAL mengambil masa, dan hanya diumumkan sehari selepas penamaan calon, sebab kita perhalusi,” katanya.
Menurut Dr Rosni, belia bahkan terlibat dalam pembikian tawaran PERIKATAN NASIONAL bersama kumpulan penyelidikan dan strategi PAS.
Katanya, disebabkan itu beliau dapat meneliti proses pembikian tawaran PERIKATAN NASIONAL melalui kajian-kajian dan cadangan-cadangan.
Ditanya jika tawaran berkenaan akan memberi manfaat langsung kepada warga Titiwangsa, katanya sudah tentu memandangkan tawaran berkenaan akan membentuk polisi kerajaan jika PERIKATAN NASIONAL dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini.
“Sudah tentu akan memberi manfaat kepada warga Titiwangsa, sebab tawaran itu adalah tawaran peringkat nasional.
“Jadi polisi yang dibangunkan secara nasional akan menyeluruh dan libatkan semua rakyat di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2022




















