
KOTA BHARU: Kemenangan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah perlu dipertahankan, selain berusaha untuk memenangi 222 kerusi Parlimen lain di seluruh negara.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, banyak perubahan akan dilakukan PERIKATAN NASIONAL (PN) sekiranya gabungan itu mendapat majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, 19 November ini.
Menurutnya, antara pembaharuan yang akan dibuat termasuk mengkaji semula kawasan persempadanan bahagian pilihan raya di ketiga-tiga negeri tersebut.
“Kawasan pilihan raya sekarang mengarut, di Kelantan, Terengganu dan Kedah, satu Parlimen jumlah pengundi lebih 100,000 orang, sedangkan di negeri lain satu kawasan sekitar 30,000 hingga 40,000 orang.
“Kita rakyat ramai, tetapi kerusi (Parlimen) sikit, ini kena perbetulkan semula dan kena baiki, nak baiki kena dapat majoriti dua pertiga, kita PN bertanding seluruh negara.
“Kalau cukup kita boleh pinda perlembagaan. Inilah yang kita harapkan, nak pertahan majoriti di negeri yang kita kuasa sekarang,” katanya pada ceramah perdana Jelajah Presiden PAS di Parlimen Bachok di Kompleks Masjid Daruttarbiyah Wakaf Zin Tawang, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Dr. Johari Mat; Yang Dipertua PAS Bachok, Dato’ Hassan Mohamood; Adun Jelawat, Abdul Aziz Kadir; Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin dan calon Parlimen Bachok, Shahir Sulaiman. – HARAKAHDAILY 8/11/2022




















