
KOTA BHARU: PAS menyifatkan pentadbiran kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN)
di bawah Tan Sri Muhyiddin Yasin dan disambung Dato’ Sri Ismail Sabri merupakan kerajaan yang bersih dan tiada salah laku.
Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, sebaliknya berbeza pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini banyak berlaku kebocoran dan terlibat kes pengelewengan.
“Pertama kita sedar Dato’ Sri Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri dari PERIKATAN NASIONAL dan bukannya BN. Ini kerana kerajaan didominasi pemimpin PERIKATAN NASIONAL.
“Kerajaan PERIKATAN NASIONAL berupaya mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan tiada salah laku,” katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan Al-Mala’ (tokoh masyarakat) di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan Zulkifli Mamat, pimpinan Assabiqun dan NGO.
Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, PAS mendukung pentadbiran yang diterajui oleh kedua-dua perdana menteri terbabit.
Ditanya Belanjawan 2023 yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini katanya, bajet itu diusahakan kerajaan PERIKATAN NASIONAL.
“Semuanya terbaik, semasa dipimpin Tan Sri Muhyiddin pun terbaik kerana turut disokong Dato’ Sri Ismail Sabri,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2022




















